Kemelut capai kemenangan PRU15

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

Oleh SUHAIMI TAIB

KEMELUT
parti-parti politik saat ini ialah menubuhkan satu gabungan kukuh dan erat untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya memastikan parti-parti berkenaan berada dalam kelompok kerajaan Persekutuan selepas berakhirnya PRU tersebut.

Parti-parti berkenaan sedang mencari siapa yang akan menjadi rakan kongsi yang setia dan parti serta pemimpin mana yang dijangka berpengaruh membolehkan gabungan itu mencapai kemenangan.

- Advertisement -

Tokoh-tokoh seperti Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin, Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian penganalisis politik tentang bagaimana percaturan digerakkan mereka untuk memastikan parti mereka berada dalam kelompok memegang tampuk pentadbiran Putrajaya.

Ini tidak termasuk tokoh-tokoh politik dari Sabah dan Sarawak yang didominasikan oleh masing-masing dari Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sarawak. Dipercayai tokoh-tokoh politik Semenanjung berusaha mempengaruhi mereka untuk bergabung dan memberi komitmen politik bagi mencapai kemenangan dalam PRU tersebut.

Keberuntungan politik ialah di pihak Perikatan Nasional (PN) dan BN yang didominasikan oleh Umno, PAS dan Bersatu kerana kedua-dua gabungan politik ini mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan parti-parti politik di seluruh negara.

PN dan BN tidak seharusnya bertindak sendiri mencari pengaruh kerana dengan sikap demikian ia menguntungkan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya Parti Sosialis Demokratik (DAP), PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dengan kerjasama Parti Warisan (Warisan) dari Sabah.

PN mempunyai majoriti mudah (simple majority) di Dewan Rakyat dengan jumlah 112 ahli Parlimen dengan kestabilannya bergantung kepada antara lain perjanjian persefahaman kerajaan dengan pembangkang yang ditandatangani oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua belah pihak dan akan tamat dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Keadaan ini boleh menimbulkan kesan tidak baik kepada kerajaan PN dengan jumlah sokongan yang agak tipis sekitar tiga orang ahli parlimen.

Ramai menjangkakan PRU15 akan diadakan dalam tahun ini juga selewat-lewatnya bulan November di peringkat Parlimen manakala beberapa buah negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak berhasrat untuk terlibat dengan pilihan raya itu bahkan ingin menghabiskan tempoh penggal sehingga Jun tahun depan. Justeru pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan.

PRN Melaka dan Johor baru berlalu kemungkinan besar kedua-dua negeri itu turut tidak menyertai PRU15. Negeri Sembilan pun dikatakan berhasrat untuk menghabiskan tempoh penggal pentadbirannya sebagaimana negeri-negeri di Pantai Timur dan Kedah.

Ia menyentuh soal kestabilan politik di peringkat persekutuan di mana dengan kelebihan beberapa orang ahli parlimen di pihak kerajaan boleh menggugat kestabilan politik, bila ada dalam kalangan mereka berpaling tadah.

Dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (1) (c) membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal dan diluluskan di Dewan Rakyat. Bagaimanapun banyak pihak menasihatkan supaya bertindak secara cermat dan berhati-hati dalam hal mengemukakan dan meluluskan akta itu di parlimen.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menasihatkan supaya kerajaan tidak gopoh mencadangkan akta itu di parlimen dan ia memerlukan kajian teliti.

Justeru, usaha gabungan parti-parti politik suatu yang perlu kerana tiada parti politik secara persendirian menang majoriti dalam PRU sebelum ini. Cadangan Presiden PAS satu ketika dahulu supaya diadakan kerajaan tanpa pembangkang atau kerajaan perpaduan sebagai satu alternatif bagi menangani kemelut tersebut. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -