Jangan bersifat kikir terhadap tuntutan Allah

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 26

ALLAH SWT mendorong orang-orang yang beriman agar berjihad dan menginfakkan harta di jalan-Nya, untuk menegakkan segala suruhan Allah di muka bumi ini. Umat Islam diingatkan jangan sekali-kali terpesona dengan kehidupan dunia yang menyebabkan mereka meninggalkan jihad kerana kehidupan dunia hanyalah sementara, sebagai sebuah permainan dan senda gurau. Semua yang ada di dunia ini akan hilang lenyap, kecuali ketaatan dan ubudiyah kepada Allah, firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡحَیَوٰةُ ٱلدُّنۡیَا لَعِبࣱ وَلَهۡوࣱۚ وَإِن تُؤۡمِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ یُؤۡتِكُمۡ أُجُورَكُمۡ وَلَا یَسۡـَٔلۡكُمۡ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُمۡ. إِن یَسۡـَٔلۡكُمُوهَا فَیُحۡفِكُمۡ تَبۡخَلُوا۟ وَیُخۡرِجۡ أَضۡغَـٰنَكُمۡ

Maksudnya: “(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). Jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikannya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan serta kebencian kamu”. (Muhammad: 36-37)

- Advertisement -

Dalam kehidupan dunia ini, sudah semestinya terdapat ujian daripada Allah untuk mengenal pasti siapakah yang patuh dan siapa yang ingkar. Allah menghendaki hamba-Nya agar korbankan sedikit anugerah yang dikurniakan sebagai suatu jihad ketika berada di dunia ini. Tuntutan daripada harta yang diinfakkan itu atau yang wajib dikeluarkan zakat hanyalah sebahagian kecil daripada nikmat-Nya yang terlalu luas. Jika mereka melaksanakan yang demikian itu, Allah akan membalasnya dengan balasan yang berlipat ganda berupa ketenangan hidup di dunia dan syurga di akhirat.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam Tafsir Al-Munir menyebut bahawa Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala kepada orang-orang yang berinfak dengan kadar keikhlasan masing-masing. Baginya kelapangan hidup dan tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula mereka merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anak atau sanak saudaranya setelah dia meninggal dunia. Ganjaran sebeginilah yang sepatutnya direbut oleh seluruh umat Islam khasnya ketika berada dibulan Ramadan ini. Sebagaimana dalam sebuah hadis, berkata Abi Mas’ud Al-Ansari:

جَاءَ رَجُلٌ بِنَاقَةٍ مَخْطُومَةٍ فَقَالَ هَذِهِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَبْعُمِائَةِ نَاقِةٍ كُلُّهَا مَخْطُومَةٌ

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki telah menginfakkan seekor unta yang bercucuk hidungnya (tali) pada jalan Allah, lantas Rasulullah SAW bersabda: Bagi kamu dengannya pada hari kiamat nanti tujuh ratus unta yang telah diikat tali pada hidungnya.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, kita mesti melatih diri untuk sentiasa berjihad dengan harta. Sifat kikir lagi bakhil hanya akan menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan. Di sinilah perlunya kepada muhasabah diri secara berterusan agar kita sedar dan insaf bahawa dunia ini hanya sementara seumpamalah sarang labah-labah, hanya menunggu masa kemusnahan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
26 Ramadhan 1443/28 April 2022 – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -