Haram sujud pada suami

KATA Abu Hurairah, ada Sahabat bertanya pada Rasulullah “Macam mana ciri isteri terbaik?” Jawab Baginda S.A.W:

Advertisement

التي تسرُّه إذا نظر ، وتطيعُه إذا أمر ، ولا تخالفُه في نفسِها ومالها بما يكره

“Yang sedap mata memandang, taat bila disuruh dan tidak melakukan perkara yang tidak disukai suami pada diri dan hartanya.”

[Hadis Riwayat an-Nasaie]

Hadis ini mendetailkan ciri isteri solehah, isteri beriman dan isteri terbaik yang disebut secara umum dalam banyak Hadis termasuk dalam Belaian 11, 16 dan 26. Mungkin ini antara ciri utama yang wajib ada pada insan bergelar isteri.

Sedap mata memandang

Isteri adalah qurratu ain (penyejuk mata) kepada sang suami. Allah menyifatkan lelaki yang diredhaiNya adalah mereka yang selalu berdoa sebagaimana firman:

 وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata, serta jadikanlah kami terulung di kalangan orang-orang bertaqwa.”

[Al-Furqân: 74]

Tuhan jadikan lelaki mudah terhibur. Sebab itu kadang-kadang hobi lelaki ini pelik-pelik. Hobi zaman budak-budak ramai saja masih kekalkan. Jadi terapi minda buat mereka.

Tuhan ajar terapi terbaik (dengan makhluk) buat lelaki adalah melihat isteri dan anak. Bagi sang ketua keluarga, isteri dan anak adalah tempat mereka menghilang lelah, menenangkan jiwa dan menghiburkan hati setelah menghadapi berbagai cabaran di luar. Cukup dengan melihat, sudah banyak yang terubat.

Jadi isteri kena pastikan mereka betul-betul sedap dipandang. Grooming, bersolek, berhias, pakai cantik, senyum, catwalk, kemas sekeliling dan sewaktu dengannya. Biar suami sentiasa tak sabar nak balik rumah.

Suami pun kenalah siapkan kelengkapan untuk isteri sedap dipandang. Beli alat solek, hantar spa, ajar cara yang kita suka dan sewaktu dengannya.

Suami pun kenalah sedap mata memandang juga. Mereka pun ada cita rasa sendiri terhadap orang lelaki. Nak pakai apa, suka rambut panjang mana, pakaian warna apa, bincanglah dengan mereka. Mereka lebih teliti bab ini. Lelaki mungkin tak kisah sangat. Tapi kalau benda itu mereka tak gemar, boleh beri kesan teruk pada moodwanita.

Taat

Taat adalah salah satu makna kesetiaan (wala’). Ia juga lambang kasih sayang, simbol kepercayaan dan tanda kesanggupan.

Tiada ketaatan kepada makhluk yang lebih besar perlu diberikan oleh Sang Hawa melainkan kepada suaminya. Nabi bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

“Kalaulah aku dibenarkan menyuruh kamu sujud kepada selain Allah, nescaya akan aku suruh wanita sujud kepada suaminya.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Haram sujud pada mana-mana manusia. Cuma Nabi S.A.W guna bahasa hyperbola bagi menggambarkan kewajiban taat yang tidak berbelah bahagi kepada suami. Melebihi ibu bapa, pemimpin, raja dan siapa jua.

Tetapi ia masih berada di bawah garis panduan taat kepada makhluk. Tidak boleh taat kalau benda itu tuhan larang.

Bab taat ni selalu disalahguna oleh sebahagian lelaki. Kuasa yang Islam berikan diseleweng sesuka hati. Menggunakan agama bagi menghalalkan semua.

Lelaki yang baik adalah lelaki yang adil. Lelaki yang tidak hanya tahu haknya, tetapi juga mengerjakan tanggungjawabnya seperti membayar nafkah, membantu tugas isteri, melayan dengan baik dan sebagainya. 

Boleh kita nak terangkan satu persatu tetapi terlalu banyak. Mungkin akan dijelaskan dalam Belaian seterusnya. Pokoknya, kena adil dan ingat semuanya akan dipersoal oleh Allah.

Cuma kena jelas, martabat isteri lebih tinggi dari hamba. Konsep hamba dalam Islam sendiri lebih bertamadun berbanding layanan manusia sekarang terhadap orang gaji. Jadi isteri perlu diberi layanan lebih baik. Nanti kita jelaskan lebih lanjut.

Jaga hati suami

Secara dasar, wanita ada hak untuk melakukan apa sahaja yang dia suka terhadap dirinya dan hartanya. Keduanya milik wanita secara eksklusif.

Tapi mereka juga perlu meraikan suami dalam menguruskan keduanya. Nak potong rambut, nak bina badan, nak solek, nak khidmat diri, jangan sampai tidak menyenangkan suami.

Nak guna duit sendiri pun kena fikir suami juga. Nak beli pasu bunga, baju kelawar, thermomixtupperware dan sebagainya kalau boleh tanya pandangan dia dulu walaupun duit kita. Kalau dia tak suka, cuba bincang elok-elok biar dia jadi suka. Wanita kan makhluk yang mahir bab pujuk rayu ni. Rujuk Belaian 2.

Kuncinya adalah komunikasi. Beritahu apa kita suka apa kita tak suka pada isteri. Isteri pula kalau tak pasti, tanya terus. Jangan banyakkan andaian yang tak pasti. Cakap biar terang. Wujudkan suasana perbincangan yang harmoni sesama pasangan.

Kadang-kadang dapat suami yang tak pandai menerang. Wanita kena pandailah faham. Boleh try and error.

Proses suai kenal sesama pasangan ini bukan boleh siap sehari dua. Boleh kata ia ambil masa sepanjang hayat.

Kerja rumah

Sebagai tambahan, mungkin timbul berkenaan kerja-kerja mengurus rumah. Adakah ia wajib bagi wanita? Memang wanita dicipta untuk mengurus rumah? Tak bolehkah tukar peranan itu? Dalam nas tiada yang mewajibkan. Tapi kita boleh ambil hukum dari sudut fitrah dan adat.

Secara fitrah, wanita normal diciptakan lebih mahir mengenai kerja rumah berbanding lelaki normal. Lelaki tuhan cipta macro manage, manakala wanita micro. Kalau harapkan lelaki urus rumah, tak sekemas wanita. Sudahnya wanita rasa lelaki macam buat kerja tak sudah. Padahal di mata lelaki normal, semua dah cukup sempurna.

Namun ia turut bergantung kepada adat. Kalau dalam satu-satu masyarakat, kerja rumah dilakukan oleh lelaki atau mereka hanya mengupah orang gaji, maka adat tersebut boleh menentukan hukum. Boleh jadi tak wajib isteri buat kerja rumah.

Tapi dengan perintah suami, yang tak wajib boleh jadi wajib. Cuma suami perlu ambil kira juga kemampuan, kedudukan, kemahiran dan kesanggupan isteri. Gunakan keadilan sebaiknya.

Vice versa

Walaupun nampak macam banyaknya peranan isteri terhadap suami, tapi sebenarnya tuhan sangat adil. Di sebalik hak yang mereka ada pada isteri, mereka juga ada tanggungjawab. Di sebalik tanggungjawab isteri yang disenaraikan, mereka juga ada hak istimewa yang boleh dituntut daripada suami. 

Konsep timbal balik ini sebahagian sunnatullah. Kalau mereka harapkan isteri yang beriman, mereka juga perlu jadi beriman. Kalau suami jahat, jangan berharap isteri jadi baik. Tuhan akan bagi pasangan yang secocok dengan kita. Firman Allah S.W.T:

 ٱلۡخَبِيثَٰتُ لِلۡخَبِيثِينَ وَٱلۡخَبِيثُونَ لِلۡخَبِيثَٰتِۖ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِۚ

“(Lazimnya) perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat. Lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Sebaliknya perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” 

[An-Nûr: 26]

Kalau sama-sama jahat tapi harapkan perubahan, suami isteri kena berubah sama. Bahkan suami kena ketuai perubahan.

Suami adalah ketua. Ketua perlu berperanan sebagai pemimpin bukan boss. Pemimpin mesti memimpin tangan pengikut. Bukan suruh-suruh begitu sahaja. 

Nak pimpin, kena duduk dihadapan hadap dulu rintangan. Bukan duduk dibelakang biarkan pengikut hadap seorang. 

Duduk dihadapan, kena tunjuk cara macam mana nak mara ke hadapan. Bukan suruh sahaja itu ini tanpa ajar apa-apa.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 29/4/2022