SOP sambutan Hari Raya masjid dan surau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masjid dan surau kini dibenarkan untuk melakukan Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri dengan kapasiti penuh, termasuk jamuan raya dan takbir raya.

Pekara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad melalui satu kenyataan medianya, hari ini.

Bagaimanapun, terdapat aspek yang perlu dipatuhi daripada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi surau dan masjid.

- Advertisement -

Antaranya, jemaah solat sunat Aidil Fitri masih perlu memakai pelitup hidung dan mulut semasa berada di dalam masjid dan surau termasuk ketika melaksanakan solat.

Jemaah juga digalakkan berwudhuk di rumah, membawa sejadah peribadi, masuk secara teratur dan bersurai dengan tenang selain mengamalkan 3 S, iaitu kawasan Sesak, tempat Sempit, dan berSembang dengan rapat.

Individu yang bergejala tidak digalakkan untuk menyertai sebarang aktiviti termasuk di masjid, surau, rumah terbuka, dan majlis hari raya. Manakala individu positif Covid-19 pula dilarang untuk menyertai sebarang aktiviti sama.

Sementara itu, takbir raya juga dibenarkan untuk dijalankan dari rumah ke rumah dengan syarat pemakaian pelitup hidung dan mulut, serta digalakkan hanya untuk individu lengkap vaksinasi dan tidak bergejala.

Jamuan raya selepas solat di masjid dan surau serta aktiviti menziarahi pusara di tanah perkuburan juga dibenarkan dengan syarat sama.

Menurut Idris, kesemua SOP yang ditetapkan Kerajaan Malaysia adalah panduan umum, namun ia juga tertakluk kepada pihak berkuasa agama Negeri-Negeri.

“Saya mengharapkan dengan panduan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut seluruh umat Islam di Malaysia menjadi hari yang mengikat dan memperkukuhkan persaudaraan sesama kita, dan merealisasikan hasrat pihak Kerajaan Malaysia dalam membentuk sebuah Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -