Rakyat sambut baik kerajaan longgar SOP fasa endemik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Rakyat menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 selaras dengan peralihan fasa endemik.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada kenyataan menjelaskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) tidak lagi diwajibkan menjelang 1 Mei.

Namun katanya pemakaian pelitup digalakan kerana langkah itu mengurangkan lagi penularan jangkitan.

- Advertisement -

Seorang penduduk Junairi Jaafar, 43, menganggap keputusan itu sebagai tindakan proaktif selepas lebih dua tahun rakyat dikekang prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyekat penularan wabak.

Namun kata beliau orang ramai wajar terus mengamalkan SOP walaupun kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sedikit peraturan tersebut termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Walaupun ada kelonggaran tidak memakai pelitup muka di tempat yang terbuka awam, namun di tempat tertutup kena memakai pelitup muka,” katanya ketika ditemui di sini.

Tamperi Tansulong, 61, turut menyambut baik kelonggaran SOP tersebut, malah meminta rakyat terus mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan penularan wabak tidak berlaku.

Bagaimanapun beliau tidak puas hati mengenai keputusan kerajaan untuk melaksanakan pemakaian pelitup muka dengan kelulusan Sirim Berhad.

“Keputusan ini ada baik dan ada juga buruknya, meskipun kelonggaran diberikan tidak bererti kita akan mengambil mudah aspek keselamatan diri dan keluarga.

“Cuma peraturan pakai mask kena ada kelulusan Sirim menimbul tanda tanya orang ramai kerana bimbang harga pelitup lebih mahal. Jadi kerajaan kena beri penjelasan,” katanya.

Ahmad Hamdan

Ahmad Hamdan Marosadee, 29, turut memuji tindakan kerajaan memberi sedikit demi sedikit kelonggaran setelah dua tahun rakyat berdepan dengan suasana pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pelitup muka mesti dipakai di tempat awam yang dihadiri orang ramai bagi memastikan kuman tidak merebak kepada individu lain.

“Bagi saya tiada masalah sebab sekarang pun kes Covid-19 sudah berkurangan kerana rakyat diajar memahami bagaimana untuk hidup dalam suasana Covid-19,” katanya.

Mohamad Nasir Yusoof pula berkata, pelitup muka mesti dipakai mengikut keadaan sebagaimana yang diputuskan kerajaan. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -