Iktibar Perancis: Raja payung penyatuan

- Advertisement -

“Habis itu berapa zakat fitrah kita nak kena bayar tahun ini,” tanya Mousa untuk mendapatkan kepastian .

- Advertisement -

“La bukankah masjid tetapkan 7 euro,”  jawab Rachid.

“Tapi masjid Tomblaine pula tetapkan 5 euro sahaja, CFCM(Conseil français du culte musulman) pun keluarkan kenyataan yang sama,” Mousa membalas .

“Alah kita ni, banyak betul balahnya. Tarikh 1 Ramadan pun balah . Darjah horizon pengiraan waktu solat 18 atau 12 pun berbalah. Sedikit hari lagi berbalah bab tarikh Syawal pula. Ada satu puak semua nak ikut Saudi. Satu puak lagi, dia saja betul tapi berbincang tak nak,” Zidane membebel panjang.

Begitulah antara polemik yang berlaku dalam masyarakat Muslim Perancis setiap tahun di musim menjelang eidul Fitr.

Setiap bangsa mempunyai cabarannya tersendiri. Di sebalik kebebasan beragama dan kekangan menjadi minoriti yang dihadapi oleh Muslim Perancis, namun mereka tetap menjadi kelompok penggerak pengambang agama paling produktif di Perancis. Satu demi satu gereja dibeli dengan duit sumbangan poket untuk dibuat masjid.

Apabila orang asal Perancis hari demi hari meninggalkan ajaran agama mereka (Katolik) dan memilih jalan hidup yang bebas daripada rujukan agama, umat Islam pula bilangan orang yang kembali kepada agama terus bertambah.

Pertambahan diikuti dengan beberapa orang asal keturunan Perancis saban minggu pasti adalah salah satu masjid di seluruh Perancis yang mengIslamkan saudara baru untuk kembali kepada fitrah .

Dialog di atas mendedahkan akan realiti cabaran dalaman di kalangan umat Islam. Pemikiran-pemikiran Islam yang boleh menjalar segenap media internet di era globalisasi ini membuatkan Sheikh-sheikh di Perancis perlu bekerja lebih untuk membentuk kesatuan Islam.

Cabaran politik dalaman di kalangan Sheikh-sheikh yang menjadi pemimpin umat Islam di Perancis adalah sesuatu yang susah dikawal. Masing-masing mempunyai kecenderungan yang berbeza dari sudut pendekatan dan pengamalan perkara-perkara yang bersifat cabang dalam agama.

Umum harus memahami bahawa Perancis adalah negara Sekular memisahkan urusan agama dan pentadbiran secara total. Sejarahnya panjang, sukar untuk dikisahkan dalam ruangan ini. 

Sukar untuk kita katakan bahawa Sekular di Perancis itu lebih baik atau buruk untuk negara Perancis selagi kita belum kajian dan pemerhatian mendalam mengenainya.

Justeru, Kerajaan Perancis tidak mengambil kisah soal badan yang berautoriti utama untuk sebarang ketetapan arahan berkait urusan keagamaan. Ini adalah seiring dengan apa yang dipegang oleh kerajaan bahawa, agama adalah urusan peribadi. 

Jadi tetap memberi hak kebebasan mengamalkannya selagi tidak mengganggu perlembagaan Sekular Perancis maka ianya bebas.

Itulah realiti yang harus ditempuh oleh umat Islam yang bernaung dan minoriti di negara non-Muslim

Kuasa atau badan pemutus yang utama itu tiada. Lalu, umat Islam bebas memilih siapa yang mahu diikut sehinggalah polemik seperti dialog berapa zakat dan penentuan tarikh permulaan bulan Islam berlaku saban tahun.

Bebas bukanlah sesuatu yang mutlak betul. Bebas bersistem dan mengambil kira soal kesatuan umat itulah yang sesuatu yang amat diperlukan oleh umat Islam di sana.

Cuba bayangkan bila, dari satu masjid ke satu masjid berlaku perbezaan tarikh raya. Perkara ini berlaku di Perancis tetapi tidak lagi berlaku di negara kita.

Jadi, tak perlu tanyalah kalau mereka akan dapat buat pengumuman tarikh raya macam kita di TV. Itu jauh lagi.

Mengenangkan hal ini, saya berasa amat bersyukur dengan kelebihan yang ada pada tanah air tercinta ini. Dipayungi oleh institusi Raja berperlembagaan yang menjadi tempat kesatuan umat dari sudut Agama.

Pelajaran daripada realiti umat Islam minoriti di Republik Perancis, menginsafkan saya bahawa sistem Raja Berperlembagaan adalah payung begitu penting demi kestabilan negara yang kita sayang.

Raja dan Sultan yang merupakan sebahagian daripada sistem ini dan kita memang akui bahawa mereka tidak suci daripada sebarang kekurangan selama mana mereka manusia dan bukan malaikat.

Selama mereka adalah manusia cintakan fitrah seperti kita, selagi itu akan ada ruang-ruang untuk diisi dengan kebaikan-kebaikan. Kita harus menjadi rakyat yang optimis untuk mendoakan kebaikan untuk mereka.

Kerja-kerja dakwah wajib diteruskan supaya Raja dan Sultan kita utuh dan komited dengan Islam yang menjadi rahmat sekalian alam bagi memayungi rakyat yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan tanpa mengira apa saja warna kulit kita.

Kalau Great Britain boleh menjadi maju dengan sistem beraja mereka, kenapa negara kita tidak?

Biarlah Republik Perancis dengan caranya. Begitu juga Republik Indonesia dengan cara mereka. Kita buktikan selama ini kita dengan cara kita yang telah disepakati dalam perjanjian awal penubuhan negara oleh orang-orang terdahulu sehingga kini kita masih mengecap keamanan dan keharmonian.

Apa yang ada pada sistem kita adalah yang terbaik untuk kita. Kita harus optimis mempertahankan sistem yang terbukti memberi keamanan kepada kita selama ini.

Pemimpin politik bertukar ganti atas semangat demokrasi yang mesti disuburkan. Sistem Raja Berperlembagaan tetap utuh menjadi payung kesatuan rakyat yang sentiasa menjaga kedaulatan demi untuk Malaysia.

Raja Payung Negara. Semoga Raja-raja kita sentiasa beroleh petunjuk daripadaNya dan negara dilimpahkan keberkatan dan kesejahteraan. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Bekas anak rantau Perancis
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -