Bersatu, PAS kekal status quo kerusi dimenangi PRU14

- Advertisement -

Oleh ZULKIFLI HUSSIN

KOTA BHARU:
Bersatu dan PAS Kelantan memutuskan untuk mengekalkan kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini bagi menghadapi PRU ke-15 tidak lama lagi.

Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, perkara itu diputus pada dasar hasil perbincangan yang diadakan kedua-dua parti sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, Bersatu dan PAS Kelantan mengadakan perbincangan di peringkat negeri berhubung pengagihan kerusi untuk menghadapi PRU15.

“Bagaimanapun keputusan itu akan diperhalusi di peringkat pusat. Perkara itu merupakan hasil cadangan yang dikemukakan kedua-dua parti di peringkat negeri,” katanya selepas majlis ramah mesra dan berbuka puasa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama pengamal media di sini malam tadi.

Kamaruddin yang juga Pengerusi KADA berkata, bagi kerusi yang dimenangi Barisan Nasional pada PRU14 iaitu tiga kerusi Parlimen dan tujuh Dun akan diadakan perbincangan lanjut.

Menurutnya perkara itu akan dibincang termasuk kekuatan parti dan potensi calon yang ditampilkan kedua-dua parti.

Pada PRU14 BN memenangi Dun Kadok, Galas, Nenggiri, Paloh, Gual Ipoh, Bukit Bunga dan Kuala Balah. Manakala parlimen yang dikuasai BN iaitu Ketereh, Machang dan Gua Musang.

Bersatu pula menang di Dun Ayer Lanas serta Parlimen Jeli dan Tanah Merah. Selebihnya dimenangi PAS. Dun Kelantan mempunyai 45 kerusi dan 14 parlimen. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -