Anak muda Kelantan sayang hutan

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kelantan merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan atas penarikan semula lesen pembalakan berdekatan tandak air hutan simpan Sungai Durian, Kuala Krai pada 18 April 2022.

Advertisement

Rakaman tahniah juga kepada semua pihak yang terlibat termasuk pimpinan PAS Kawasan Kuala Krai dalam mengusulkan kebimbangan tandak air yang melibatkan 7,000 penduduk sekitar ekoran kawasan pembalakan berdekatan boleh mengganggu kelangsungan sumber air bersih.

Sehubungan itu pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan amat menyokong sebarang tindakan tegas kerajaan kepada penceroboh haram yang merosakkan hutan simpan. Tindakan tegas juga perlu dikenakan kepada pemilik lesen yang melanggar syarat-syarat kontrak pembalakan termasuk menarik balik lesen yang telah diluluskan.

Kami juga optimis, keprihatinan pimpinan Negeri Kelantan terhadap laporan rakyat melibatkan hutan Negeri Kelantan termasuk pimpinan setempat adalah kombinasi berkesan dalam memelihara ekosistem hutan negeri. 

Walau bagaimanapun, di bulan Ramadan yang mulia ini, saya mahu mengingatkan agar pihak yang berkepentingan mahu meraih perhatian politik atas isu ini agar tidak meneruskan langkah yang dirancang. Cukup-cukuplah mengambil kesempatan atas isu hutan Negeri Kelantan.

Justeru, atas tindakan responsif segera YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar dan kecaknaan semua pihak, tahniah dan terima kasih diucapkan.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 28/4/2022