Aidil Fitri kejayaan bermakna buat rakyat Malaysia

- Advertisement -

BULAN Ramadan kini sampai ke penghujungnya. Jika sepanjang dua tahun lalu kita berhadapan dengan pelbagai kekangan dan larangan dalam menjalani ibadah di bulan yang mulia ini lantaran pandemik COVID-19, kini umat Islam di Malaysia semakin selesa menjalankan ibadah di bulan yang mulia ini.

Masjid dan surau umpamanya telah dibuka untuk dikunjungi umat Islam untuk bersolat waktu, tarawih, bertadarus dan beriktikaf selain berbuka puasa dan bersahur serta membayar zakat fitrah.

- Advertisement -

Sebelum ini ianya terkekang lantaran penularan wabak ini yang belum begitu terkawal. Kini Malaysia melalui peralihan ke fasa endemik dan semakin banyak kelonggaran diberikan.

Malah pusat-pusat membeli-belah, restoran, pasar malam dan pasar awam serta lain-lain urusan dan perniagaan juga semakin menghampiri kehidupan normal sebagaimana pra COVID-19 dahulu.

Adalah diyakini dengan kejayaan program immunisasi COVID-19 yang dilaksanakan pihak kerajaan, selain pengurusan wabak yang cekap dan baik, kita dapat hidup menghampiri normal menjelang Hari Raya Aidil Fitri nanti. Malah sedang hangat dibahaskan bahawa perintah mengenakan pelitup muka di tempat-tempat awam juga dijangka dilonggarkan.

Sepanjang berhadapan dengan pandemik ini tidak dinafikan kehidupan rakyat terjejas teruk dan keadaan ekonomi negara turut terkesan. Ini bukan sahaja dirasai di Malaysia tetapi turut tertanggung seluruh dunia.

Ada yang hilang pekerjaan dan punca pendapat kerana industri rata-rata terjejas akibat beberapa langkah drastik terpaksa diperkenalkan kerajaan untuk mengekang pandemik ini khasnya ketika fasa terawal dahulu. Kerajaan terpaksa memperkenalkan ‘lockdown‘ ataupun Perintah Kawalan Pergerakan, dan sempadan negara malah antara negeri pun terpaksa ditutup.

Sekolah dan institusi pengajian tinggi turut menjadi mangsa apabila terpaksa diperintah tutup dan pembelajaran secara atas talian diperkenalkan.

Industri dan perkhidmatan yang masih berjalan juga mengurangkan kakitangan untuk mengurangkan kos selain mengamalkan kerja dari rumah.

Rata-rata kehidupan rakyat berubah tanpa mampu berbuat apa-apa selain berserah kepada Allah S.W.T serta bergantung pada usaha dan program kerajaan untuk meringankan beban masing-masing.

Di waktu-waktu mencabar ini, kecekapan kerajaan mengurus dan mentadbir rakyat dan negara cukup diuji. Kiranya lemah dan gagal, rakyat akan menderita dan negara sukar untuk bangkit dan pulih kembali. Beberapa negara dunia berhadapan dengan situasi sebegini lantaran kelemahan pentadbiran pihak kerajaan serta kewangan yang merosot dan rakyat yang berpecah-belah.

Mujurlah di Malaysia rakyatnya waras dan agak berdisiplin walaupun di awalnya ada juga yang protes dan hilang pertimbangan. Kepimpinan negara pun bertukar tangan sewaktu pandemik ini sehingga kita punya Perdana Menteri baru.

Terbukti dengan slogan ‘Kita jaga kita‘ selain kerajaan ‘Keluarga Malaysia‘ yang dibawa Dato Seri Ismail Sabri Yaakub, rakyat taat dan patuh mengikuti langkah dan program pemulihan kerajaan sehingga memungkinkan kita keluar dari fasa yang meruncing ke keadaan yang sedia ada pada hari ini hasil dari keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Kesabaran dan pengorbanan penting dalam kita menghadapi cabaran besar ini dan terbukti rakyat Malaysia yang bersatu, mampu melayari arus cabaran berkenaan dengan baik dan kini kita menuai hasilnya sedangkan banyak lagi negara masih berperang dengan wabak ini.

Syukur sebagaimana diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, tahun ini rakyat Malaysia bebas pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

Pastinya pengumuman ini menggembirakan rakyat, terubatlah rindu pada ibu-bapa dan sanak saudara di kampung halaman, dan Hari Raya juga bakal menyaksikan rumah terbuka, kembali dianjurkan sebagaimana sebelumnya.

Dengan perkembangan terbaru ini Hari Raya Aidil Fitri kali ini cukup bermakna dan ia benar-benar menjadi hari kejayaan dan kemenangan buat kita semua. 

Berkat kesabaran, ketabahan, pengorbanan dan doa tidak putus-putus seluruh rakyat Malaysia khasnya umat Islam, di samping kegigihan pihak kerajaan, Allah S.W.T menarik kembali ujian Nya terhadap kita yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Sewajarnya kita jangan sekali-kali lupa akan pertolongan Allah S.W.T ini. Wajib kita bersyukur dan membesarkan Nya sepanjang masa. Peringatan ini terkena atas kita semua dari rakyat jelata hinggalah ke kepimpinan negara sampai ke Perdana Menteri.

Cukup-cukuplah kita mengingkari titah-perintah dan suruhanNya. Berusahalah menghapuskan segala bentuk maksiat yang dimurakiNya. Mudah-mudahan kasih-sayang dan rahmatNya mencurah-curah turun buat kita dan Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Lantaran itu kestabilan politik juga penting. Sewajarnya dalam kita meraikan kejayaan ini dan dengan semangat Ramadan kali ini, redakanlah segala bentuk perbalahan politik sesama kita. Terutama pada parti-parti yang membentuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ hari ini, buangkanlah yang keruh ambil yang jernih demi rakyat dan masa depan negara.

Kejayaan peralihan ke fasa endemik ini membuktikan rakyat cukup selasa dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri. Selain mahu pulih dari cabaran wabak ini rakyat juga mahukan kestabilan politik. Biar kerajaan diberi ruang dan peluang secukupnya untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat serta memulihkan ekonomi negara. Bermakna berpada-padalah berpolitik jangan sampai rakyat bosan dan menjadi benci.

Semoga kejayaan kerajaan ini, kejayaan Ramadan yang kita tempuhi dan kemenangan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini turut menyemarakkan usaha penyatuan politik yang akan menjamin masa depan yang baik buat semua.

Jangan kita leka dan alpa, sehingga ditarik anugerah nikmat yang ada. Jadikanlah ajaran dan perintahNya sebagai panduan dan kunci penyelesaian sepanjang masa. Semoga kerajaan ‘Keluarga Malaysia‘ ini kekal subur sehingga ke generasi mendatang.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -