Wedding of the year

- Advertisement -

DARIPADA Abdurrahman bin Auf, Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

“Buatlah kenduri walaupun dengan seekor biri-biri.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Tujuan walimah 

Perkara yang menjadi kemestian pada sesebuah perkahwinan adalah kenduri. Boleh kata semua ajaran ada konsep kenduri ini.

Ada dua tujuan kenduri:

1. Hebahan: Menghebahkan kepada orang ramai akan perkahwinan. Biar orang tahu mereka dah jadi suami isteri. Lagi ramai tahu lagi baik.

Sebaiknya biar kerabat dan kenalan dari suami dan isteri dipanggil ke kenduri. Nak buat asing belah lelaki dan perempuan, atau sekali itu terpulang. Pokoknya, belah lelaki kenal siapa wanita begitu juga belah wanita.

Bila orang tahu kita dah kahwin, barulah orang tak pandang serong kalau tengok kita berkepit berdua-duaan. Sabda Rasulullah S.A.W:

كمّلَ دينَه هذا النكاحُ لا السفاحُ

“Dia telah sempurnakan agamanya. Inilah nikah, bukan zina.”

[Hadis Riwayat Baihaqi]

2. Bergembira: Perkahwinan adalah sunnah yang sangat terpuji. Ia juga melahirkan rasa gembira bukan sahaja kepada pengantin, malah keluarga dan kenalan. Terlalu banyak nikmat dari perkahwinan ini yang dirasai banyak pihak.

Fitrah manusia, bila gembira akan buat parti. Bila tak gembira pun, parti boleh datangkan kegembiraan. Tak kiralah parti hari jadi, kenduri kahwin, cukur jambul, naik rumah, naik pangkat dan sebagainya.

Ini juga antara maksud Firman Allah S.W.T:

وأما بنعمة ربك فحدث

“Adapun dengan nikmat tuhanmu, maka kongsikanlah.”

[Ad-Dhuha: 11]

Kalau kita rujuk kitab fiqh, hampir semua menyebutkan hikmah kenduri kahwin adalah hebahan. Jadi peruntukan terbesar dan agenda utama perlu diberi untuk tujuan hebahan terlebih dahulu, kemudian kalau ada lebih barulah tujuan bergembira.

Sunat anjur 

Kenduri bukan perkara wajib seperti akad dan mahar. Kahwin tetap sah tanpa kenduri. Tapi ia sunat yang sangat dituntut. Nabi pesan kalau boleh buat juga, walaupun ringkas sahaja.

Oleh kerana kenduri tak beri kesan kepada keabsahan perkahwinan, maka tak kisah nak buat sebelum nikah, sejurus lepas nikah, lepas bersekedudukan atau anjak tarikh jauh. Tapi afdal sejurus lepas nikahlah. Baru sampai maksud hebahan dan bergembira itu.

Kalau terdesak nak kahwin tapi tak cukup belanja, tak perlu fikir kenduri lagi. Lepas 2-3 tahun baru kenduri pun tak ada masalah. Selesaikan yang rukun dulu.

Wajib hadir

Bagi jemputan, hukum asal mereka hadir adalah wajib. Kalau saja-saja tak nak hadir sebab malas, berdosa. Melainkan ada keuzuran seperti penat, jauh, ada urusan penting dan sebagainya.

Hatta kalau kita puasa sunat pun tak boleh dijadikan alasan. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

“Barangsiapa yang tak memenuhi undangan maka mereka telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Hikmah diwajibkan adalah supaya tidak membuat pengantin sedih, malu orang tak datang dan membazir makanan yang disediakan.

Tapi kita faham, kadang-kadang kalau musim kenduri ni sampai 5-6 jemputan sehari. Mungkin tak mampu nak penuhi semua.

Kalau tak mampu hadir, beritahu awal-awal. Barulah tak menyusahkan mereka. Kita mudahkan urusan mereka.

Kalau saja-saja tak nak hadir, minta izin awal-awal daripada tuan rumah.

Kenapa minta izin? Sebab mereka ada hak untuk dijayakan walimah. Kalau mereka izinkan baru boleh. Sama juga kalau puasa. Mereka izin teruskan puasa baru teruskan.

Walimah hukumnya wajib. Puasa itu sunat. Tinggal yang wajib, berdosa. Tinggal sunat, tak berdosa. Lagipun, pahala buat benda wajib jauh lebih besar dari sunat.

Konsep

Konsep kenduri sama dengan mahar; mudah. Orang berada boleh buat mewah tanpa membazir. Orang miskin ikut kemampuan mereka.

Paling penting kena ada makanan. Lauk apa tak kisah. Tak semesti kena sembelih biri-biri juga. Waktu Nabi kahwin dengan Safiyyah, dia buat kenduri bubur sahaja. Ada yang Baginda kahwin kenduri dua cupak barli sahaja. Bergantung kemampuan.

Kalau ada duit lebih, elok fokus untuk tambahkan kuantiti lauk biar lagi ramai kenalan boleh dipanggil. Kalau ada lebih lagi, tambah kualiti lauk pula. Biar orang makan sedap.

Selesai makan, barulah nak fikir belanja lain untuk menambah kemeriahan. Tujuan kemeriahan adalah kegembiraan.

Nak buat persembahan silat, panggil penyanyi, menari, photobooth ke apa terpulang. Itu semua menambah gembira. Bahkan menggembirakan orang dapat pahala. Asalkan tak melanggar syarak dan mencemar budaya setempat.

Sewaktu Nabi melalui penempatan kabilah Zuraiq, dia terdengar bunyi orang menyanyi dan bermain musik. Bila Sahabat kata itu kenduri kahwin si fulan, Baginda bersabda:

لا نكاح حتى يُسمع دف أو يُرى دخان

“Tak dipanggil nikah kalau tak dengar bunyi gendang (musik) atau tak nampak asap (rewang).”

[Hadis Riwayat Baihaqi]

Wedding of the year

Ingat, kenduri bertujuan untuk hebahan dan kegembiraan. Bukan nak menunjuk-nunjuk, nak bersaing kenduri siapa paling havoc sampai berlumba nak digelar wedding of the year. Itu dah lari tujuan utama.

Kalau dah nampak sangat nak kejar glamour, tak pergi pun tak berdosa. Bahkan takut pergi pula yang berdosa. Ibn Abbas meriwayatkan:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ طَعَامِ الْمُتَبَارِيَيْنِ أَنْ يُؤْكَلَ

“Rasulullah S.A.W larang makan makanan yang dipersaingkan.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Imam al-Khattabi menjelaskan, maksudnya jamu orang makan dengan maksud nak berbangga dan menunjuk.

Orang kita lebih teruk lagi saingannya. Bajet makan nak paling murah, sebab nak lebihkan bajet pada pakaian, solekan, pelamin, hiasan dan perkara-perkara yang lebih glamour. Makanan tak cukup dia kisah sangat. Tapi kalau pelamin spoil, murung seumur hidup.

Pilih kasih

Sebab nak jaga status atau tak nak orang miskin mencemar glamour, dijemput kenalan yang dikira berkemampuan sahaja. Jemput orang miskin, pakaian tak proper, tak ikut tema. Boleh spoil juga katanya.

Ada juga tak jemput orang miskin sebab salam kaut dapat sikit. Atau kaut-kaut tak ada apa langsung. Kenduri yang sepatutnya habis duit, dikira untung rugi pula. Dah macam bisnes.

Tak tahulah dari mana adat salam kaut ini. Kalau atas kerelaan jemputan nak bantu ringankan beban atau sebagai hadiah, itu hak mereka. Tapi jangan seolah meletakkan syarat kenduri mesti salam kaut. Bila salam kosong, mula masam muka.

Kenduri seperti ini tak wajib hadir. Dah langgar maqasid kenduri. Bila jadi budaya, dah dikira bidaah dolalah. Baik pergi kedai makan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

بِئْسَ الطَّعَامُ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ؛ يُدْعَى إِلَيْهَا الأَغْنِيَاءُ، وَيُتْرَكُ الفُقَرَاءُ

“Seburuk-buruk makanan adalah kenduri yang hanya jemput orang kaya, meninggalkan orang miskin.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Asingkan menu ikut status pun salah. Majlis sekali, tapi orang tertentu makan mewah. Orang lain makan biasa saja. Atas nama VIP.

Kalau nak buat begitu atas alasan nak rai lebih, kena buat ruang VIP tempat tertutup. Lagi baik buat majlis asing. Tidaklah membuatkan tetamu lain terliur.

Glamour vs berkat

Tapi geng gila glamour ini, langgar syarak pun mereka tak kisah. Sebab dah habis RM400 sekali solek, sanggup tak solat tak nak bagi make-up hilang. Glamour punya pasal, sanggup pakai seksi dedah sana sini. Nak hypepunya pasal, sanggup buat ala Bollywood tak jaga ikhtilat.

Langgar SOP apalah sangat. Denda boleh bayar kan.

“Alah. Seumur hidup sekali.”

Itulah alasannya. Kalau mati tengah kenduri itu tak sempat taubat, tak sempat qadha macam mana?

Sampai sanggup bergolok gadai nak pastikan majlis dia paling happening. Buat pinjaman peribadi, pinjam ahlong pun ramai. Tak nak kalah dengan orang lain.

Majlis sehari. Tapi tanggung hutang bertahun. Kalau tak boleh bayar, makin menambah beban rumahtangga. Akhirnya hidup tertekan, mulalah nak salahkan sesama suami isteri. Hilang bahagia.

Bila menyusahkan, memberatkan dan langgar syarak, semua ini buat perkahwinan itu hilang berkat. Bila tak berkat, susah nak bahagia. Kalau awal-awal dah gelap dari cahaya Ilahi, agak-agak perkahwinan tu boleh bercahaya tak sampai anak cucu?

Kitab hikam sebut kalau nak diberkati sampai ke akhir, langkah pertama adalah penting. Kalau bercahaya di awal, bercahayalah sampai ke akhir. Kalau dah mulakan dengan kegelapan dosa, agak-agak akhirnya macam mana?

Jangan hairan sebab apa kenduri-kenduri artis habis ribu riban. Tapi baru setahun dua, dah cerai.

Kata kuncinya; berkat. Keberkatan lebih utama. Sebab itu orang kahwin kena doakan keberkatan

Rasulullah ajar kita ucap:

بارك الله لك، وبارك عليك، وجمع بينكما بخير

“Berkat Allah buat kalian berdua. Berkat Allah ke atas kalian berdua. Semoga Allah himpunkan kalian berdua dalam kebaikan.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 27/4/2022

- Advertisement -