KUALA KRAI: Kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan di kompartmen 99 dan 100 yang terletak bersebelahan kawasan tandak air digunakan penduduk.
Pembatalan itu dibuat Menteri Besar (MB) Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 18 April lepas bagi menjamin sumber air yang mencukupi untuk kegunaan penduduk di beberapa kampung.
Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, ketika tinjauan ke lokasi terbabit 14 April lepas tiada sebarang kerja-kerja pembalakan dilakukan.
Katanya hanya terdapat sebuah jentolak milik pembalak yang ditempatkan di kawasan kompartmen tersebut selepas mendapat kelulusan lesen pembalakan sebelum ini.
“Hasil tinjauan kawasan dua kompartmen iaitu 99 dan 100 jika berlaku pembalakan akan menjejaskan kawasan tadahan air sekaligus merosakkan tandak air sedia ada,” katanya pada kenyataan hari ini.
Lawatan ke kawasan tandak air yang digunakan penduduk Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang dan Bechah Salak itu turut disertai Setiausaha Politik Menteri Besar Mohd Asri Mat Daud, Adun Mengkebang Muhamad Mat Sulaiman dan Adun Guchil Hilmi Abdullah.
Hadir sama Setiausaha Tandak Air Bechah Salak Mohd Rizal Mamat, Pengerusi Tandak Air RPT Mengkebang Hashim Jusoh dan Penghulu Mengkebang Abdullah Mustafa.
Abdul Latiff juga berkata, terdapat empat tandak air di kompartmen 98 dan 101 di mana kedua-kedua kompartmen terbabit diwartakan sebagai kawasan tadahan air dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan.
Menurutnya juga hasil lawatan itu surat bantahan dihantar kepada Menteri Besar pada 17 April lepas supaya dibatalkan lesen pembalakan di dua kompartmen tersebut serta merta demi menjaga keperluan air hampir 7,000 penduduk.
“Saya yakin kerajaan negeri tidak akan teragak-agak membatalkan sebarang keputusan yang menyusahkan rakyat dan bersama rakyat dalam apa jua keperluan mereka khususnya air.
“Saya kemudian dimaklumkan Menteri Besar telah membatal kelulusan itu. Oleh itu kami merakamkan penghargaan kepadanya di atas keprihatinan dalam usaha menjaga kepentingan rakyat.
“Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan di sebalik apa jua isu yang berlaku,” katanya.
Menurutnya juga wakil-wakil rakyat di Kuala Krai sentiasa mengambil berat berkaitan kepentingan rakyat dan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mencapai resolusi terbaik. – HARAKAHDAILY 27/4/2022