Salur semua elaun Adun dalam Tabung Kebajikan

- Advertisement -

TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi merintis usaha mewujudkan tabung khas bagi membantu rakyat selepas bergelar wakil rakyat pada 2008.

Beliau berkata, selepas menang di Dun Wakaf Bharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 beliau mewujudkan Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat (TAKSIR).

Katanya semua elaun wakil rakyat ketika itu disalurkan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui TAKSIR.

- Advertisement -

“TAKSIR dirasmikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat seminggu selepas PRU 2008. Ia sebagai usaha bagi memudahkan menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat,” katanya di sini.

Menurutnya TAKSIR diuruskan oleh jawatankuasa pemegang amanah yang ditubuh bagi memastikan elauan wakil rakyat tersebut dapat dimanfaatkan bagi kebajikan rakyat.

Katanya, TAKSIR berperanan selama 10 tahun ketika beliau berkhidmat sebagai Adun Wakaf Bharu.

“Daripada situ saya minta ahli jawatankuasa TAKSIR supaya berusaha menubuhkan sebuah yayasan bagi memastikan pengurusannya lebih sistematik.

“Lagi pun banyak pihak yang tubuh tabung dengan pelbagai nama. Dan selepas saya berkhidmat sebagai ahli parlimen Tumpat dinamakan pula sebagai Tabung TAKSIR Tumpat.

“Tabung TAKSIR jadi confius sebab mana-mana pihak mudah hendak tubuh tabung. Jadi usaha dilakukan bagi menaik taraf TAKSIR kepada yayasan,” katanya.

Menurutnya juga yayasan tersebut sebagai kesinambungan peranan TAKSIR dan ia tidak mati begitu sahaja selepas beliau tiada lagi.

Bermula dari situ Che Abdullah berusaha menaik taraf TAKSIR bagi membolehkan bantuan diagih secara lebih terancang dan efektif kepada rakyat.

“Selepas saya tiada nanti yayasan ini akan digerak anak-anak dan sahabat saya bagi meneruskan kerja berbakti kepada masyarakat.

“Sebenarnya saya mempunyai cita-cita yang cukup tinggi terutamanya program kebajikan termasuk berkaitan pendidikan,” ujarnya.

Maka pada 15 April lalu lahirlah Yayasan Dato’ Che Abdullah Al Lambori. Ia dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Mastura Mohd Yadiz di sebuah hotel di Kota Bharu.

Che Abdullah juga berkata, hasrat untuk berbakti kepada masyarakat sudah lama berputik sejak zaman remaja.

Menurutnya juga sekiranya yayasan itu mempunyai dana mencukupi nanti beliau berhasrat menaja pelajar melanjut pelajaran sama ada di dalam atau luar negara. – HARAKAHDAILY 27/4/2022