Jangan undang padah balik beraya

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pastinya ramai yang sedang menghitung hari untuk bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut lebih kurang seminggu lagi.

Lagu “Balik Kampung” dendangan penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad sudah tentu menjadi siulan dan nyanyian, begitunya lagu yang sinonim dengan Hari Lebaran termasuk “Dendang Perantau” dan “Selamat Hari Raya”.

Berbanding dua tahun lepas, sambutan hari raya tahun ini sudah tentu amat bermakna kerana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi “lampu hijau” untuk semua pulang ke kampung halaman bagi meraikan lebaran, selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lepas.

- Advertisement -

Warga kota terutamanya lebih teruja dan tidak sabar pulang ke kampung untuk bersama keluarga dan sanak saudara membuat persiapan menjelang hari raya.

Amalan gotong-royong ‘rewang’ bagi menyediakan pelbagai menu raya seperti ketupat, rendang, lemang dan pelbagai lagi juadah lain pasti mengeratkan tali silaturrahim dan menjadi kenangan manis sehingga bertemu lebaran pada tahun hadapan.

Jalan dan lebuh raya utama negara dijangka sesak, melibatkan anggaran sekitar 14 juta kenderaan (seluruh negara) akibat aliran trafik yang tinggi.

Sudah tentunya kesiapsiagaan pihak terlibat terutama pasukan penguatkuasaan amatlah penting untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

PDRM giat penguatkuasaan

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, dengan jangkaan peningkatan kenderaan sepanjang cuti perayaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan efisien bagi mengekang kemalangan jalan raya di musim perayaan.

Tumpuan dibuat menerusi pelaksanaan konsep penguatkuasaan menyeluruh yang merangkumi operasi had laju, motosikal dan kenderaan perdagangan yang dikenal pasti menyumbang kepada statistik kemalangan.

“Untuk perayaan Aidilfitri kali ini, PDRM akan kuatkuasakan Op Selamat 18 yang jadualkan bermula pada 29 April sehingga 8 Mei ini yang mana kita mengekalkan konsep penguatkuasaan menyeluruh dan perkhidmatan,  merangkumi masa respons kepada kemalangan atau pun kesesakan.

‘’Menerusi langkah ini juga, kita mewujudkan Emergency Respond Team di 14 lokasi sepanjang lebuh raya seluruh negara dengan penglibatan agensi lain termasuk agensi penguatkuasan dan penyelamat,’’ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Polis turut menggunakan In-Car Radar sebagai medium yang boleh mengesan kelajuan  dengan menggunakan kamera berteknologi radar.

Penggunaan teknologi itu yang diperkenalkan pada awal tahun ini akan mempertingkatkan kualiti penguatkuasaan secara profesional bagi memastikan kesalahan memandu melebihi had laju dapat ditangani dengan lebih efektif.

In-Car Radar akan digunakan di sepanjang lebuh raya secara digital dan berupaya mengesan kelajuan kenderaan menerusi kamera berteknologi radar.

“Setiap rakaman mengandungi gambar kenderaan, merekodkan nombor pendaftaran, tarikh serta masa dan lokasi kesalahan berlaku… kita berharap dengan langkah ini pengguna jalan raya lebih berwaspada dan mematuhi had laju yang ditetapkan,’’ katanya.

Pada 18 April lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, memandu melebihi had laju, antara lima kesalahan lalu lintas utama yang tidak dibenarkan untuk dikompaun sepanjang operasi bersepadu bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sebaliknya kesalahan tersebut perlu diselesaikan di mahkamah.

Kesalahan lain yang turut tersenarai adalah gagal mematuhi isyarat lampu merah, memotong garisan, memandu di lorong kecemasan dan penggunaan telefon bimbit sewaktu pemanduan.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, polis turut menggunakan Sistem Kompaun Dalam Talian Pintar (iCOPS), yang bertujuan mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik.

“Penggunaan iCOPS dilihat memberi kesan yang sangat positif kepada pihak kami dalam membantu penyediaan data yang lebih tepat  termasuklah rekod pemilik dan maklumat mengenai kenderaan tersebut.

“PDRM juga  akan meningkatkan  rondaan di kawasan komuniti bagi mencegah kejadian pecah rumah sepanjang Op 18 ini,’’ katanya.

Sebanyak 308,726 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Op Selamat 17 berbanding 271,168 saman pada operasi sama, tahun lepas.

Op Selamat 17, turut merekodkan penurunan jumlah kemalangan jalan raya iaitu 11,325 kes berbanding 15,382 tahun sebelumnya.

Beliau menambah, Op Selamat tidak hanya tertumpu kepada keselamatan jalan raya, bahkan keselamatan rumah yang ditinggalkan semasa cuti perayaan.

Rancang waktu perjalanan

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim pula menasihatkan orang ramai  supaya merancang waktu perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat konsesi lebuh raya bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk.

Langkah itu perlu kerana jumlah kenderaan di atas jalan raya dijangka meningkat lebih tinggi susulan cuti perayaan yang panjang.

“Selain itu, pastinya Aidilfitri kali ini berlaku pertambahan kenderaan selepas lebih dua tahun kita tidak merayakannya di kampung halaman kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Periksa dan selenggara kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah peraturan dan undang-undang semasa berada di jalan raya, terutamanya berkaitan dengan had kelajuan kenderaan,’’ katanya.

Menurut Khairil Anwar, memandu atau menunggang melebihi had laju meningkatkan risiko perlanggaran dengan pengguna jalan raya yang lain.

‘’Sentiasa amalkan sikap bertimbang rasa dan amalkan pemanduan defensif ketika mengendalikan kenderaan. Gunakan alat keselamatan seperti tali pinggang keledar, topi keledar dan sebagainya,’’ katanya.

Pemandu turut dinasihatkan agar memastikan mereka berada pada tahap kesihatan dan kecergasan yang baik.

“Sediakan mental dengan cabaran yang mungkin dihadapi seperti perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang lama dan bersedia untuk berhenti rehat beberapa kali mengikut keadaan semasa,’’ katanya.

Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan jumlah trafik meningkat 25 peratus kepada dua juta kenderaan bermula 29 April hingga 9 Mei ini berbanding 1.6 juta sehari ketika ini.

PLUS menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam perjalanan ke destinasi masing-masing.

Elak micro sleep ketika memandu

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari mengingatkan pemandu supaya mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.

Ini untuk memastikan mereka tidak berada dalam keadaan letih dan mengantuk yang akhirnya mendorong kepada Sindrom Tertidur Tanpa Sedar Microsleep.

“Microsleep ini fenomena apabila individu itu dalam keadaan seperti tertidur sekejap sekitar 15 saat atau kurang yang mana dia sendiri tidak sedar perbuatannya, tidak kira dalam situasi matanya tertutup atau terbuka.

‘’Dalam konteks ketika seseorang itu memandu di lebuh raya, walaupun hanya 2 atau 3 saat berada dalam keadaan microsleep ini, kemungkinan kereta yang dipandu itu boleh bergerak jauh dalam 10 atau 20 meter (dalam tempoh itu) dengan stereng (kenderaan) tiada kawalan…ini  secara tidak langsung boleh mengakibatkan perlanggaran (dengan kenderaan lain) atau kemalangan,’’ katanya.

Menurut beliau, individu cenderung untuk mengalami Sindrom Microsleep apabila tidak mendapat rehat dan tidur yang tidak cukup.

Dalam keadaan demikian, tubuh individu atau pemandu tidak cukup fit untuk memandu dalam tempoh lama lebih-lebih lagi untuk perjalanan jarak jauh.

“Apabila kita dalam keadaan mengantuk dan letih ia cenderung berlakunya microsleep, contohnya orang dewasa memerlukan sekitar tujuh atau lapan jam waktu tidur…apabila kita keletihan dan kemudian kurang tidur akibat bekerja atau aktiviti lain, ia akan menganggu pemanduan kita.

“Biologi normal kita, waktu malam adalah waktu kita tidur… jadi apabila perlu memandu pada waktu malam termasuk bagi pemandu bas persiaran, jadi ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dalam pemanduan, jadi kita perlu lebih berwaspada,’’ katanya.

Menurut Dr Muhammad Muhsin, langkah terbaik bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini ketika memandu adalah dengan mendapat tidur dan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Pemandu perlu memilih waktu yang sesuai selain mengelakkan memandu pada malam hari terutamanya kepada mereka yang sukar memandu pada waktu berkenaan.

Orang ramai juga disarankan untuk tidak memandu sendirian yang mana boleh menyebabkan pemandu berasa bosan dan seterusnya menghilangkan fokus pemanduan.

“Sebaiknya, cari rakan untuk dijadikan sebagai teman berbual atau co-pilot yang boleh menggantikan pemandu apabila pemandu berasa letih dan mengantuk.

“Untuk melalui perjalanan yang jauh, anda digalakkan berehat seketika setiap kali selepas dua jam memandu. Jika memandu di waktu malam boleh minum minuman yang mampu menyegarkan semula pemanduan seperti kopi,’’ katanya. – BERNAMA

- Advertisement -