Falsafah sebuah mahar

- Advertisement -

AISYAH R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً

“Sesungguhnya pernikahan paling berkat adalah yang paling mudah belanjanya.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Berkat

Perkara pokok daripada hadis ini adalah soal keberkatan pernikahan. Berkat bermaksud pertambahan kebaikan. Walaupun kuantiti sedikit, tetapi kualitinya tinggi sehingga membawa kebaikan yang banyak.

Harta sedikit, tapi manfaatnya seperti harta yang banyak. Contohnya seribu orang memakan segantang gandum dalam kisah Perang Khandaq.

Umur pendek, tapi boleh buat banyak perkara macam umur panjang. Contohnya hasil karya Imam Nawawi walaupun cuma hidup 40 tahun.

Ibadat sedikit, tapi pahala banyak. Seperti ibadat bulan Ramadan. Sebab itu Nabi sebut Ramadan bulan mubarak!

Justeru nikah yang berkat adalah nikah yang sederhana, tapi kesan baik selepas nikah sangat banyak. Boleh jadi dalam bentuk rezeki bertambah, anak ramai dan soleh, suami soleh, isteri solehah dan kekal sepanjang hingga ke syurga.

Mahar

Para ulama’ banyak memetik hadis ini ketika berbincang mengenai mahar (mas kahwin). Falsafah mahar adalah hadiah kepada wanita yang diberikan lelaki kerana sudi menyerahkan kesucian dirinya secara sah. 

Islam sangat menghargai kesucian wanita. Walaupun sebesar manapun mahar, ia bukanlah sebagai tanda harga kesucian wanita itu. Tetapi sekadar tanda komitmen dan penghargaan seorang lelaki atas kesanggupan wanita itu membenarkan dirinya dimiliki zahir dan batin.

Kerana ia bukan tanda harga, maka Islam tidak menetapkan mahar berdasarkan status, kemahiran, keturunan atau sijil pendidikan. Mereka yang meletak tanda harga bergantung kepada perkara tersebut sebenarnya telah merendahkan harga diri wanita.

Namun Islam juga tidak menetapkan mahar perlu murah. Perlu difahami Nabi sebut paling mudah (أيسر) bukan paling murah  (أرخص). 

Dari sudut ini, ia tidak bergantung kepada wanita tetapi kepada lelaki. Mana yang paling mudah bagi lelaki. Kalau lelaki itu kaya, maka yang mudah dari kekayaannya. Kalau dia miskin, apa sahaja yang dia mampu.

Mahar Nabi kepada isteri-isterinya tidak pernah lebih dari 500 dirham kecuali bagi Ummu Habibah. Baginda hadiahkan 400 dinar kerana kebetulan waktu itu, raja Najasyi hadiahkan mahar tersebut.

Nabi tidak membantah Abdurrahman bin Auf memberi mahar emas sebesar biji kurma. Kerana waktu itu Abdurrahman baru memulakan perniagaan. 

Apa pun mahar ini wajib bagi. Nabi suruh seorang Sahabat yang miskin bagi juga walau sebentuk cincin besi. Kalau zaman sekarang, macam bagi nat skru lah.

Firman Allah S.W.T:

 عَلَى ٱلۡمُوسِعِ قَدَرُهُۥ وَعَلَى ٱلۡمُقۡتِرِ قَدَرُهُۥ مَتَٰعَۢا بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ

“Suami yang senang beri menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian berpatutan.”

[al-Baqarah: 236]

Rumaisa’; Mahar teragung

Mahar tidak semestinya material. Ia juga boleh diberikan dalam bentuk ilmu. Bila Sahabat yang Nabi suruh beri cincin besi pun tak mampu, Nabi suruh ajar apa jua surah yang dia tahu daripada al-Quran.

Mungkin mahar paling bernilai dalam rekod Sahabat adalah mahar kalimah syahadah. Ia diletakkan oleh Rumaisa’ (Ummu Sulaim binti Milhan). Ketika dia dipinang Abu Talhah, dia berkata:

“Ikutkan hati, aku sangat ingin mengahwinimu. Mana mungkin aku tolak jejaka sepertimu. Namun engkau kafir, sedangkan aku Islam.

“Sekiranya engkau peluk Islam, aku anggap itulah maharku. Takkan ku pinta-pinta apa-apa lagi.”

Rumaisa’ tidak meletakkan walau sesen wang sebagai mahar. Cukup dengan lafaz kalimah syahadah Abu Talhah, Rumaisa’ serahkan dirinya untuk jejaka beruntung itu.

Itulah mungkin mahar teragung sepanjang zaman. Sebuah akidah. 

Abu Talhah menerimanya. Jadilah dia seorang Muslim. Walaupun mungkin keislamannya dipengaruhi cinta kepada Rumaisa’, tetapi berkat sebuah mahar, beliau menjadi Sahabat Nabi yang sangat setia. 

Menjadi anggota Baiah Aqabah Kedua; sebuah janji taat setia berjuang untuk Islam. Beliau membenarkan janjinya; bersama Rasulullah dalam semua peperangan. Juga antara pemanah yang kekal di bukit Uhud kala yang lain turun mengejar ghanimah. Mahar paling berkat.

Mahar hak pengantin wanita 

Daripada petunjuk hadis ini, kita boleh fahami bahawa hak menentukan mahar adalah milik wanita yang ingin berkahwin. Ia bukan milik ibu bapanya.

Apa yang pelik dalam masyarakat kita, mahar ditentukan oleh si ibu. Bukan setakat mahar, calon pun perlu restu mereka.  Si bapa pun selalu ikut sahaja ibu. Seolah ibu pula wali.

Walau bagaimanapun, Islam membenarkan mahar diambil oleh ibu bapa mereka berdasarkan umum hadis Nabi S.A.W:

إن أطيبَ ما أَكَلْتُم مِن كسبِكم . وإن أولادَكم مِن كَسْبِكم

“Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh kamu adalah dari hasil usaha kamu. Anak-anakmu juga dikira sebahagian dari hasil usahamu.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Cuma ia jadi perbahasan agak luas kerana hak ibu bapa ke atas anak perempuan berbeza sebelum dan selepas mereka berkahwin. Sebelum kahwin, wanita jadi tanggungjawab ibu bapa. Selepas kahwin, mereka adalah tanggungjawab suami.

Jika boleh diambil dari mahar itupun, maka ia terhad kepada keperluan ibu bapa dan tidak memudaratkan anak. Kecualilah si anak meredhainya.

Jangan sampai macam jual anak. Saat kita berkira penat lelah membesarkan mereka dengan nilaian mahar, saat itulah pahala ikhlas gugur berantakan. Habis terus segala yang diraih selama ini. Sia-sia.

Lagipun yang lebih penting keberkatan. Falsafah mahar lagi, ia penentu keberkatan. Kalau tinggi sampai menyusahkan pihak lelaki, hilang berkat. Bila hilang berkat, hilanglah bahagia, hilanglah suami soleh, isteri solehah, anak soleh dan rezeki yang murah.

Kata Imam Ghazali, kebaikan wanita terletak pada ringan maharnya, mudah nikahnya dan elok pekertinya. Keburukan wanita pula pada berat maharnya, rumit nikahnya dan teruk pekertinya.

Bukan sekadar mahar

Hadis di atas sebut mengenai belanja (مؤنة)  bukan mas kahwin (مهر). Mahar hanya sebahagian belanja perkahwinan. Banyak lagi yang dimaksudkan berkait persediaan material perkahwinan.

Majlis akad nikah, mahar, hantaran, kenduri dan semua yang berkait dengannya. Jadi bila disebut mudah belanja, bererti mudah dalam semua segi.

Terpulang kepada adat setempat berkenaan proses perkahwinan ini. Ada yang mahar dan belanja asing. Mahar yang dilafaz dalam akad nikah. Belanja yang dipersetujui luar akad. 

Tapi semua itu termasuk belanja. Tak aci kalau mahar sahaja mudah, tapi kenduri, hantaran, belanja lain-lain merumitkan. Tetap hilang berkat.

Nanti kita sambung lagi bab lain-lain itu.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 26/4/2022 

- Advertisement -