Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
PASIR MAS: Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidifitri kerajaan Kelantan meraikan golongan anak-anak yatim dan armalah dengan mengagihkan sumbangan kepada mereka.
Bagi tahun ini peruntukan untuk golongan armalah di setiap Dun ditambah daripada RM80,000 kepada RM100,000.
Adun Tendong Rozi Muhamad berkata, beliau mencari peruntukan tambahan lain sebanyak RM10,000 lagi menjadikan jumlah bantuan untuk golongan armalah di Dun Tendong sebanyak RM110,000.
“Saya tambah dana lain bagi meringankan beban golongan berkenaan yang semakin bertambah membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM110,000.
“Kami juga mengagihkan bantuan pendidikan anak yatim sebanyak RM20,000. Alhamdulillah kita telah agihkan sumbangan berkenaan melalui dua fasa pada Ramadan ini,” katanya di di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada armalah dan anak yatim hari ini.
Seramai 200 armalah dan 100 anak yatim menerima sumbangan berkenaan pada majlis yang diadakan di Balai Penggawa dekat sini.
Rozi juga berkata, jumlah keseluruhan armalah yang menerima bantuan tersebut tahun ini seramai 400 orang, manakala anak yatim (200).
Oleh itu beliau berharap sumbangan yang diberikan kerajaan negeri dapat membantu meringankan bebanan mereka bagi menyambut Aidilfitri.
Katanya juga kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan lagi bagi membantu golongan wanita termasuk Skim Usahawan dan Tabung Usahawan Wanita Kelantan (Kak Wan). – HARAKAHDAILY 26/4/2022