Mahkamah netizen dan PASLeaks

- Advertisement -

SEHARI dua ini keheningan Ramadan disinggahi isu PASLeaks. Ribut mana yang bawa berita itu tak dikesan. Hanya timbunan sampah yang sibuk dibincangkan. Kerana busuk baunya maka banyaklah lalat yang menghurung. Tak cukup lalat dan langau, gagak dan hering pun tumpang sama mencari ‘rezeki’ dari sampah yang dilonggok itu. 

- Advertisement -

Presiden PAS tidak berminat mengulas. Cukup penafian sepintas lalu. PAS bukan pembawa sampah, jauh sekali menjadi sampah.  Ada musuh PAS yang menyerang ‘sipi-sipi‘ dengan sindiran. Ada juga yang cuba menjadi hero dengan menuntut Presiden PAS membawa bukti bagi menafikan.  

Kedunguan apakah yang menuntut orang yang menafikan membawa bukti? Bagaimana mungkin tertuduh mencuri pula dituntut membawa bukti dia tidak mencuri? Sepatutnya si penuduh yang membawa bukti. Apakah itu ajaran politik baru khadam?  

Netizen juga sedang disibukkan dengan isu pemandu langgar kanak-kanak basikal lajak dan sepuluh peguam tertuduh kes Bella. Kes Bella masih di awal perbicaraan, namun kes langgar basikal lajak telah dijatuhkan hukuman sekalipun dalam proses rayuan. 

Menariknya budaya baru kesalahan di mahkamah kita ialah hukuman ‘mahkamah netizen‘ cuba diangkat lebih utama dari mahkamah yang perlukan proses keadilan dengan dakwaan, pembelaan dan pembuktian. Hukum mahkamah hanya diterima jika menepati citarasa mereka. 

Menariknya mahkamah netizen tidak perlu pembuktian dan dakwa dakwi sebaliknya cukup dengan sentimen dan mainan emosi. Dalam kes basikal lajak, cukup sentimen kononnya kerani yang memandu pukul tiga pagi dengan kelajuan kereta lembu dan melanggar sekumpulan remaja diabai keluarga hingga lapan orang terbunuh kononnya teraniaya. 

Bagaimana dia melanggar, mengapa sehingga lapan orang boleh terbunuh, apa keperluan beliau seorang kerani perempuan pulang pukul tiga pagi tidak lagi jadi persoalan. Yang ditimbulkan mengapa remaja itu berada di jalan? Manipulasi ini berjaya menarik lebih seratus ribu tandatangan. Tiada lagi nilai pendakwaan dan pembelaan di mahkamah yang memerlukan siasatan rapi dan hujah yang jelas.  

Kembali kepada kes PASLeaks, isu pendakwaan yang telah sampai ke penghujungnya dengan hukuman telah dijatuhkan kepada DS Najib cuba dialihkan dengan dakwaan konspirasi. Ia juga membabitkan Presiden parti tersebut.  

Netizen cuba dilibatkan dengan mainan konspirasi tanpa pembuktian untuk menafikan dan membatalkan hukuman mahkamah yang berlangsung begitu lama dan pelbagai peringkat. Ditambah pula perisa dengan ‘cerita’ hakim disogok untuk menambah keyakinan agar netizen hilang kepercayaan kepada institusi kehakiman.  

Apakan isu PASLeaks ini dipelajari dari kes basikal lajak atau ia dipelajari dari cikgu yang pernah meraih simpati dengan kes sakit tulang belakang dan arsenik? Apakah dengan munculnya PASLeaks itu akan menghasilkan sejuta tandatangan bagi membatalkan hukuman ke atas DS Najib dan menghalang dakwaan kepada DS Zahid yang diarah membela diri? 

Apakah mahkamah netizen akan berjaya mengambil alih dan membatalkan mahkamah yang dibina dengan sistem dan proses keadilan selama ini? Ia budaya baharu proses keadilan di negara kita dengan sistem juri netizen. Jika ini menjadi kenyataan, hakim dan peguam boleh memohon lesen penjaja atau menjadi rider menghantar barang untuk kesinambungan hidup dalam dunia mahkamah netizen

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -