Lailatul Qadr anugerah istimewa, rebutlah peluangnya

- Advertisement -

DALAM kitab Syarh Al-Shadr Bizikri Lailah Al-Qadr; Fadha’il Wa Àlāmat Lailah Al-Qadr karya Imam Waliyuddin bin Al-Hafiz Al-Zain Al-Iraqi menyatakan bahawa tatkala Rasulullah S.A.W melihat keadaan umur umatnya yang pendek tidak sebagaimana umat terdahulu yang diberi anugerah umur yang panjang dan dapat beribadah kepada Allah, maka Allah mengurniakan Lailatul Qadr sebagai suatu anugerah istimewa kepada umatnya:

- Advertisement -

روي مالك في الموطأ عمن يثق بقوله من أهل العلم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أرى أعمار الناس قبله أو ما شاء الله من ذلك فكأنه تقاصر أعمار أمته أن لا يبلغوا من العمل مثل الذي بلغ غيرهم في طول العمر فأعطاه الله ليلة القدر خير من ألف شهر.

“Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwattha’ daripada orang yang dipercayai keterangannya di kalangan orang yang mempunyai keahlian dalam ilmu bahawasanya Rasulullah S.A.W ditunjukkan umur orang sebelum daripadanya atau apa yang Allah kehendaki daripada hal tersebut, seolah-olah umur umatnya sangat pendek jika dibandingkan dengan orang sebelumnya. Umatnya tidak mencapai amalan sama seperti yang telah dicapai oleh selain mereka dengan sebab umur yang panjang, maka Allah mengurniakan kepada mereka Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan.”

Lailatul Qadr adalah suatu anugerah teristimewa kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang tidak dianugerahkan kepada umat lain. Sekiranya diberi rezeki beribadah pada malam tersebut, ia bersamaan dengan melakukan ibadah selama 83 tahun 4 bulan dengan ganjaran yang berganda di sisi Allah S.W.T. Peluang ini sewajarnya diambil peluang oleh seluruh umat Islam khasnya ketika berada di 10 terakhir Ramadan.

Susunlah jadual ibadah secara terbaik dengan kemampuan diri masing-masing. Apa sahaja amal kebaikan yang dilakukan pada malam tersebut bermula waktu berbuka sehinggalah fajar terbit akan dikira sebagai ibadah yang diberi gandaan bersamaan seribu bulan. Ambil peluang untuk melakukan apa sahaja amalan kebaikan sama ada bersedekah, membaca Al-Quran, berzikir, solat sunat, dan lain-lain dengan sentiasa menghadirkan ihtisab atau pengharapan yang tinggi kepada Allah untuk mendapatkan Lailatul Qadr.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -