Iktikaf amalan sunnah Nabi S.A.W

- Advertisement -

DI penghujung Ramadan ini antara amalan yang menjadi kelaziman Rasulullah S.A.W ialah beriktikaf. Iktikaf dari segi bahasa Arab maksudnya melakukan sesuatu dengan melaziminya dan tidak meninggalkannya. Manakala dari segi istilah pula iktikaf bermaksud : Seseorang itu duduk dan tinggal di dalam masjid dan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan cara yang tertentu.

- Advertisement -

Berkata Ibnu Qayyim R.A: Disyariatkan kepada mereka beriktikaf yang bertujuan untuk melazimkan hati supaya sentiasa bersama Allah, berkhalwat dengannya, memutuskan perhubungan dengan makhluk, sibuk hanya dengan (ibadah kepada) Allah, supaya zikirnya, kecintaannya dan penerimaannya hanya kepadaNya”.

Beriktikaf merupakan satu amalan mendekatkan diri kepada Allah dan merupakan satu amalan sunat. Pada bulan Ramadan ia sangat dituntut lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir Ramadan. 

Abu Hurairah R.A berkata:

كان النبي صلى الله عليه وسلم  يَعـْتـَكِفُ فِي كـُلِّ رَمَضَانَ عـَشْرَة َأيـَّام ٍ فـَلـَمَّا كـَانَ العَامُ الـَّذِيْ قـَبـِضَهُ فـِيْهِ اعـْتـَكـَفَ عـِشـْرِيْنَ يـَوْمًا

“Bahawa Nabi S.A.W beriktikaf setiap Ramadan 10 hari, manakala bila tibanya tahun kewafatannya, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. 

(Riwayat Imam Bukhari)

Jika seseorang itu ingin melakukan iktikaf, ia hendaklah memenuhi beberapa syarat agar amalan tersebut dinilai sebagai satu ibadah, iaitu:

1. Islam.

2. Berakal.

3. Niat untuk beriktikaf di dalam masjid.

4. Dilakukan di masjid.

5. Suci dari hadas, haid dan nifas.

Waktu iktikaf ialah bermula apabila seseorang itu masuk ke masjid dan berniat untuk iktikaf.

Bagi menyempurnakan amalan iktikaf, ketika beriktikaf digalakkan memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, menjauhi kata-kata nista, lucah, cercaan dan berdebat. Juga dianjurkan supaya melazimi suatu tempat di dalam masjid dan tidak bergerak ke sana kemari serta sentiasa dalam keadaan bersih, berwangian dan berwudhuk.

Seorang yang beriktikaf dibenarkan untuk makan, minum, memotong kuku dan tidur manakala berjual beli, berkata perkara sia-sia dan diam tanpa berzikir adalah dianggap makruh.

Iktikaf dianggap terbatal apabila seseorang itu keluar dari masjid dengan sengaja tanpa sebab terdesak. Bagi wanita pula apabila datang haid juga dianggap terbatallah iktikaf.

Bagi mereka yang beriktikaf sunat, jika terbatal harus baginya untuk mengqadhakkannya. Manakala iktikaf nazar jika terbatal, maka wajib diqadhakkan. Kaum wanita juga dibolehkan beriktikaf dengan syarat terpelihara dari sebarang fitnah dan mendapat keizinan suami.

Iktikaf merupakan satu kaedah yang berkesan dalam menyucikan jiwa manusia. Kerana dengan beriktikaf seseorang itu dapat memberikan fokus dan tumpuan dalam melaksanakan ibadah.

Beriktikaf dapat menghindarkan diri dari melihat perkara-perkara maksiat yang boleh menjejaskan kelazatan beribadah. Ia juga dapat melatih menahan diri dari bergaul dengan orang ramai yang mana dapat mengurangkan perbualan dan tindakan yang sia-sia mahupun yang haram.

Dengan beriktikaf juga dapatlah difahami betapa besarnya fungsi masjid sebagai destinasi mendapatkan ketenangan rohani dan meningkatkan iman seseorang. 

Allah Taala berfirman:

إنَّمَا يَعْمُرُ مَسٰجِدَ اللّٰهِ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَأَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللّٰهَ ۗفَعَسٰٓى أُولٰۤىِٕكَ أَنْ يَّكُوْنُوْا مِنَ الْمُهْتَدِيْنَ

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(al-Taubah: 18)

ZURIDAN MOHD DAUD AL-TEMINIE – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -