Anak perantau Kelantan perlu tahu 39 jalan maut ini

- Advertisement -

POLIS Kelantan hari ini telah menyenaraikan 39 ‘blackspot’ iaitu laluan atau jalan raya yang dikenal pasti sering berlakunya kemalangan di negeri ini. Perinciannya dicatatkan secara khusus Kilometer (KM) lokasi kejadian tersebut. Lokasi panas tersebut adalah seperti berikut:

- Advertisement -

Gua Musang
¤ Jalan Persiaran Raya Simpang Hospital
¤ KM20-35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai
¤ KM56-58 Jalan Gua Musang-Kuala Krai
¤ KM61-67 Jalan Gua Musang-Kuala Krai
¤ KM11-14 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis
¤ KM20-22 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis
¤ KM48-56 Jalan Gua Musang-Lojing

Kuala Krai (Jalan KB-Gua Musang)
¤ KM57-58 Kampung Keroh
¤ KM63 di Batu Jong
¤ KM74-75 Kampung Pahi

Kota Bharu
¤ KM20-22 Jalan Kuala Krai – berhampiran SMK Ketereh
¤ Jalan Salor Baru-Pasir Mas
¤ Jalan Tok Guru – Jambatan Baung sehingga sebelum Kem Tentera Pengkalan Chepa
¤ Jalan Binjai Bachok

Selain itu, lima ‘blackspot’ di Tumpat, masing-masing tiga di Machang, Pasir Mas dan Jeli, serta dua di Pasir Puteh dan Tanah Merah. Bachok pula empat lokasi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan terutama apabila pertambahan kenderaan termasuk pada musim perayaan.

Oleh itu sangat tinggilah harapan agar sebarang insiden atau tragedi dapat dielakkan dengan setiap pengguna jalan raya dapat meningkatkan kewaspadaan. Bukan sahaja di lokasi-lokasi tersebut, tetapi sepanjang perjalanan terutama kepada anak perantauan yang akan menempuh permusafiran jauh.

Sentiasa berhemah, mematuhi peraturan jalan raya, bersabar dan bertolak ansur serta menghormati, selain pastikan mendapat rehat yang cukup, serta kenderaan disiapkan dengan penyelenggaraan sebaiknya, selain menyediakan bekalan tertentu yang menjadi keperluan.

Juga sangat besar harapan kami anak-anak Kelantan, supaya senarai diumumkan Polis Kelantan ini mendapat sama perhatian Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya dan agensi-agensi di bawahnya.

Bahawa 39 ‘blackspot’ tersebut adalah isyarat dan notis untuk penilaian jitu dan tindakan bersepadu dilaksanakan bagi menangani segala kemungkinan atau risiko kemalangan. Khususnya dalam menaik taraf atau membina baharu infrastruktur jalan raya yang benar-benar mengikut keperluan kepenggunaan dan keadaan lokasi.

Kami memahami betapa ia memerlukan keputusan dan peruntukan besar serta pengurusan kerja yang bersifat jangka panjang. Tetapi setidak-tidaknya dalam waktu terdekat ini dipastikan penyelenggaraan melibatkan kerosakan atau struktur teruk di lokasi berkenaan dapat dibaiki. 

Kita amat risau sekiranya 39 lokasi panas itu memiliki unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlaku kemalangan maut akibat struktur jalannya tidak selamat. Faktor infrastruktur yang berisiko menjadi punca kepada kemalangan mesti disifarkan, sebaliknya dijamin dengan penyediaan yang selamat secara asas untuk dilalui.

Harapan kami juga agar pihak PDRM dari semasa ke semasa boleh membekalkan lebih maklumat berkaitan jalan-jalan yang disebutkan tadi sebagai perkongsian berwibawa untuk semua pihak. Juga mengadakan pemantauan statik serta menempatkan anggota bagi mendisiplinkan pengguna. 

Ia penting kerana pemandu yang mengenderai kereta berjam-jam lamanya dari Lembah Klang atau arah Utara, Barat dan lainnya sudah tentunya kurang mengenal pasti jalan-jalan tersebut biarpun ditandakan perinci KM-nya. Pihak JKR juga dapat mengadakan papan tanda atau isyarat peringatan setidak-tidaknya menggunakan ‘banner’ sekalipun.

Apapun terima kasih PDRM atas keprihatinan dalam menjaga keselamatan rakyat negeri ini menerusi makluman telah disiarkan. Terima kasih juga kepada JKR dan pihak kontraktor atas penyelenggaraan atau pembaikan jalan raya yang diadakan di beberapa lokasi sepanjang minggu ini.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -