Ramadan masa terbaik latih diri berhenti merokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Ramadan adalah bulan terbaik untuk latih diri berhenti merokok.

- Advertisement -

“Disiplin yang kita bentuk dalam bulan Ramadan ini mampu menguatkan kita melawan keinginan merokok.

“Saya pasti ramai dalam kalangan kita sedang berusaha gigih berhenti merokok,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Tambahnya, ia satu mujahadah yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT dengan meninggalkan suatu perkara memudaratkan.

Sebagai permulaan, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia bersama agensi Islam menggerakkan kesedaran berhenti merokok di seluruh negara.

“Kita gerakkan kempen kesedaran untuk berhenti merokok. Masjid dan surau menjadi zon bebas merokok,” ujarnya.

Hari ini berlangsung Majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid oleh beliau Bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Menurut Idris, pihaknya akan menggerakkan kempen itu bersama-sama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk di platform TV Al-Hijrah, Radio IKIM dan Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di masjid-masjid utama di bawah seliaan JAKIM dan masjid-masjid serta surau-surau di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

“Pada masa yang sama, JAKIM akan berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk kita melebarkan lagi kempen serta pendidikan ini kepada masyarakat awam.

“Sokongan padu amat kami harapkan daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menggesa agar dikuatkan azam untuk berhenti merokok.

“Layari perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan pihak KKM,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!