Makanan Arab jadi pilihan penduduk Dhaka ketika Ramadan

- Advertisement -

DHAKA: Penduduk Bangladesh yang biasa dengan rasa pedas jarang mencuba masakan bukan Asia Selatan. Namun, keadaan berubah ketika Ramadan apabila bagi kebanyakan orang di kota ini, makanan tradisional Arab menjadi pilihan untuk bersahur dan berbuka puasa.

Bagi pengusaha restoran Timur Tengah di bandar ini, Ramadan adalah peluang untuk meningkatkan jualan dan menarik pelanggan baharu dengan harapan pengunjung yang berpuas hati akan terus kembali walaupun selepas bulan puasa berakhir.

- Advertisement -

Dua pilihan paling popular untuk warga Bangladesh makan di restoran Arab ialah Kabsa, iaitu hidangan nasi dengan daging yang disapu rempah yang dimasak selapis demi selapis dalam periuk yang sama, yang dianggap sebagai hidangan kebangsaan di semua negara Semenanjung Arab. Pilihan kedua ialah Mandi yang juga berasaskan beras, tetapi dimasak dalam ketuhar tandoor.

Untuk hidangan ringan, keju haloumi panggang, hummus, moutabal, puri terung panggang dan fattoush, salad yang dibuat dengan roti rata panggang yang segar, tomato, lada dan timun, juga popular.

Pemilik Authentic Kebab Express di kawasan Banani, Raihan Parvez, berkata jualan biasanya meningkat dua kali ganda ketika Ramadan.

“Terdapat sambutan yang sangat baik daripada pelanggan,” katanya.

Masakan Arab dimasak menggunakan bahan diimport dari Timur Tengah

Penduduk bandar ini, Mohammed Solaiman berkata, antara tempat makan kegemarannya ialah Restoran Lubnan Jalapeno Cafe di kawasan Uttara kerana menawarkan kepelbagaian perisa.

“Saya sering ke sini pada Ramadan untuk berbuka puasa. Makanan Arab kurang pedas dan mempunyai rasa yang berbeza,” katanya.

Walaupun popular, restoran Timur Tengah di sini bukan tempat makan yang paling murah. Di bandar yang hidangan lengkap boleh dinikmati dengan harga kira-kira AS$2 (RM8.62), sepinggan makanan istimewa Arab perlu dibayar pada harga 10 kali ganda lebih tinggi.

Bagaimanapun menurut Emad Selman yang memiliki Jalapeno Cafe, kunci untuk memastikan pelanggan gembira adalah keaslian.

“Untuk mengekalkan keaslian, kami melantik seorang chef dari Lubnan. Orang ramai suka makanan di sini kerana kami menyediakan hidangan asli Arab,” katanya sambil menambah bahawa semua bahan yang digunakan dalam masakan diimport dari Lubnan.

Masakan Arab kurang pedas, berbanding masakan Asia Selatan

Chef Mohammed Saleh pula berkata: “Kami hanya menyediakan makanan apabila pelanggan membuat pesanan. Jadi di sini, penggemar makanan Arab menemui rasa asli masakan yang segar.”

Bagi Ararat Rahman, penduduk Dhaka yang biasa pergi ke negara Teluk kerana urusan perniagaan, rasa masakan Arab datang dengan rasa nostalgia.

“Saya mengunjungi restoran Arab di Dhaka untuk menikmati rasa yang saya alami di negara Arab yang berbeza,” katanya.

“Dalam penyediaan beberapa hidangan Arab, jenis rasa yang berbeza digunakan. Ini yang saya tidak dapat dengan makanan tempatan kami.” – ARABNEWS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!