KKM, JAKIM lancar mQuit masjid bantu perokok

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan program mQuit masjid bagi membantu perokok meninggalkan rokok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, sejak mQuit masjid diperkenalkan pada awal bulan ini, seramai 41 peserta mendaftarkan diri dengan 12 daripadanya memerlukan bantuan untuk berhenti merokok.

- Advertisement -

Katanya, walaupun angka tersebut masih rendah, tetapi ia merupakan satu permulaan yang baik serta memberi gambaran terdapat perokok yang tergerak hati mahu meninggalkan rokok apabila ke masjid.

“Kita juga berharap melalui program mQuit masjid ini, ramai perokok akan mengambil peluang, terutamanya perkhidmatan yang disediakan.

“Bukan hanya (perkhidmatan) kaunseling tetapi juga rawatan menggantikan nikotin yang disediakan melalui program tersebut, yang boleh menguruskan ketagihan itu secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai melancarkan program perkhidmatan berhenti merokok mQuit masjid dan Pelancaran Program Commit to Quit di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Turut serta dalam pelancaran, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; serta Timbalan Pengerusi JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Tambah Khairy, program mQuit masjid mula dijalankan sejak 8 April lalu pada waktu setiap waktu Solat Jumaat sepanjang Ramadan dan akan diteruskan pada setiap Jumaat pada bulan seterusnya.

Sementara itu kata Khairy, dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok, KKM telah mengeluarkan sebanyak 12,625 notis bagi kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) sepanjang tahun lalu, dengan 2,228 didakwa di mahkamah.

Manakala katanya, sehingga 6 April lalu, sebanyak 11,133 notis sama dikeluarkan bagi tahun ini. Tambahnya, setakat ini sebanyak 1,450 aduan melalui WhatsApp yang diterima KKM.

Beliau mengalu-alukan lebih ramai yang tampil membuat aduan melalui WhatsApp supaya KKM boleh membuat serbuan kepada premis yang membenarkan perokok merokok di kawasan larangan.

“Kita akan teruskan penguatkuasaan ini dan perhebatkan lagi, kita harap ini akan meningkatkan kesedaran orang ramai, terutamanya perokok supaya tidak memudaratkan kesihatan orang lain yang ada di sekeliling mereka.

“Insya Allah, Rang Undnag-Undang (RUU) Kawalan merokok, dan produk perokok akan saya bawa ke Sidang Dewan Rakyat, pada Julai nanti,” katanya. –HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -