Bakar al-Quran: Tindakan melampau terhadap Islam

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi melampau membakar al-Quran yang dilakukan oleh Rasmus Paludan dan parti berhaluan kanan anti-Islam Stram Kurs (Hard Line) dari Denmark di Orebro, Sweden pada hujung minggu lalu.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan biadab tersebut tentunya akan membangkitkan kemarahan umat Islam.

Ini, ujarnya telah berlaku rusuhan di bandar Orebro, Sweden selama beberapa hari yang menyaksikan beberapa anggota keselamatan Sweden cedera dan berlaku kerosakan harta benda.

- Advertisement -

Menurutnya, di atas nama kebebasan bersuara, sewajarnya ada sikap toleransi dan saling menghormati terutamanya berkaitan agama.

Beliau menambah, isu-isu sensitif berkaitan agama seperti menghina pemimpin agama mahupun kitab suci perlu dielakkan dalam memelihara keharmonian dan perpaduan dalam sesebuah negara.

“Kebebasan bersuara yang diamalkan ketika ini terutamanya di Barat, dipandang umat Islam sebagai alat diskriminasi dan provokasi terhadap mereka di mana saat ini Islamofobia dilihat amat berleluasa hingga menyebabkan umat Islam di Eropah dan Barat dihina, ditindas dan dizalimi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, terdapat banyak insiden masjid dan sekolah umat Islam diceroboh dan dirosakkan serta berlakunya hate crime hingga menyebabkan kecederaan mahupun kematian ke atas umat Islam.

Menurut beliau, sewajarnya konsep kebebasan bersuara tanpa batas dan mencetuskan kontroversi yang diamalkan perlu disanggah dan dinilai semula untuk kebaikan semua pihak.

Tambah beliau, sampai masanya penghinaan terhadap Islam, pemimpinnya mahupun al-Quran perlu dihentikan kerana ia hanya akan terus meningkatkan ketegangan yang berpanjangan.

“Hentikan sikap double standard terhadap Islam dan umatnya kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” ujarya yang juga Adun Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 19/4/2022

- Advertisement -