Tempoh liabiliti kecacatan (Bah.2)

Lakukan dengan segera

- Advertisement -

DI BAWAH Akta Pemajuan Perumahan atau Housing Development Act (HDA), Tempoh Liabiliti Kecacatan (Defects Liability Period) atau DLP adalah 24 bulan. Justeru pembeli rumah mempunyai tempoh 24 bulan untuk mengemukakan senarai kecacatan kepada pemaju tetapi lakukan dengan segera ketika rumah anda masih kosong. Lebih mudah untuk melakukan pemeriksaan ketika anda belum berpindah sepenuhnya atau sebelum anda membeli perabot dan kelengkapan lain. Jika anda menangguhkan pemeriksaan ini di saat-saat terakhir, anda atau mereka yang membantu anda akan melakukannya dengan tergesa-gesa dan kemungkinan besar tidak akan dapat mengenalpasti kesemua kecacatan yang ada.

- Advertisement -

Satu perkara yang perlu anda pertimbangkan adalah kerja-kerja pengubahsuaian (renovation) sama ada ia perlu dilakukan dengan segera atau anda boleh menunggu sehingga selesai Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP). Jika kontraktor anda memulakan kerja sebelum DLP berakhir, terdapat kemungkinan pemaju kediaman anda akan menyalahkan kontraktor pengubahsuaian anda di atas kecacatan atau kerosakan yang terdapat pada kediaman anda. Kerja-kerja pengubahsuaian juga boleh menutup kecacatan yang anda laporkan. Walaupun terdapat perkara-perkara seperti perbezaan dari Perjanjian Jual Beli (SPA) atau kualiti kerja yang tidak memuaskan yang jelas dan tidak boleh dikaitkan dengan pihak ketiga namun lebih baik mengambil pilihan yang lebih selamat. Kebanyakan pakar akan menasihatkan agar pengubahsuaian dilakukan selepas tamat DLP kecuali anda bercadang untuk tidak membuat sebarang tuntutan. Contohnya terdapat kecacatan pada siling tetapi anda bercadang untuk menukar siling yang lebih baik (upgrade).

Lazimnya pemaju akan menyediakan borang untuk merekodkan kecacatan yang dikenalpasti tetapi jangan hadkan senarai anda kepada borang yang disediakan. Gunakan kertas tambahan atau lampiran dan jangan takut untuk merekodkannya dengan terperinci. Sekiranya anda tidak memiliki latar belakang teknikal maka dapatkan bantuan dan nasihat dari mereka yang memilikinya. Walau bagaimanapun jika tidak terdapat sesiapa untuk membantu anda maka rekodkan dengan cara anda yang tersendiri. Setiap kecacatan yang ditemui perlu ditanda dan diberikan nombor siri. Gunakan marker atau sticker. Jangan lupa untuk mengambil gambar. Rekod fotografi ini amat penting untuk menerangkan dengan jelas jenis kecacatan sekiranya terdapat kekeliruan pada perkara-perkara yang anda tulis. Hari ini kita tidak lagi menggunakan filem yang terpaksa dicuci dan akan menelan belanja justeru ambillah gambar sebanyak mungkin.

Setelah anda menyerahkan senarai anda, pemaju perlu membaiki atau membetulkan kecacatan atau kerosakan tersebut secara percuma. Apa yang anda perlu lakukan jika pemaju melengah-lengahkan pembaikan atau pembetulan? Terdapat nasihat yang menyarankan anda melantik kontraktor anda sendiri untuk melakukan kerja-kerja tersebut dan kemudiannya menuntutnya dari pemaju atau peguam pemaju. Ini adalah satu pilihan tetapi cara ini kemungkinan besar akan menimbulkan pertelingkahan (dispute) yang berpanjangan dan akan mengambil masa untuk menyelesaikannya jika dicabar oleh pemaju. Seboleh-bolehnya berbincang dengan pemaju.

Bagaimana jika pemaju tidak melayan anda atau sentiasa memberikan alasan? Ini mungkin boleh berlaku jika anda bertindak bersendirian. Oleh yang demikian pembeli-pembeli perlu bertindak secara berkumpulan. Bentuklah kumpulan pembeli atau persatuan pembeli untuk membincangkan sebarang masalah yang dihadapi dengan kediaman yang dibeli. Suara ramai lebih didengari dari suara individu. Walaupun kadang-kala agak susah untuk menyatukan penduduk di taman yang baharu kerana mereka baru sahaja mengenali di antara satu sama lain tetapi jika mereka berhadapan dengan masalah tugas ini akan menjadi mudah.

Terdapat juga pemaju atau kontraktor pemaju yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan tambahan seperti kerja-kerja pengubahsuaian atau penambahbaikan. Alasan mereka, oleh kerana mereka sedang melakukan kerja-kerja di kediaman anda maka lebih mudah untuk melantik mereka dari kontraktor lain. Jangan terburu-buru untuk melantik mana-mana kontraktor sehingga anda dapat membandingkan sebut harga – sebut harga mereka. Anda tidak mempunyai obligasi untuk melantik kontraktor pemaju atau pemaju. Anda berhak membuat pilihan.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -