Pembangunan tidak terancang punca pelepasan gas rumah kaca

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Program Komuniti Lestari menekankan masyarakat tempatan melestarikan kawasan mereka dengan mengawal pembuangan sisa bahan-bahan buangan.

Ketua Pegawai Eksekitif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, program itu termasuk mewujudkan Rumah Ibadat Hijau.

Katanya, Masjid Ar-Rahman, Mukim Pulau Gajah Pengkalan Chepa dipilih sebagai model Rumah Ibadat Hijau.

- Advertisement -

“Kami menyasarkan pengurangan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 dapat dicapai menerusi Program Komuniti Lestari,” katanya selepas pelancaran Program Komuniti Lestari Mukim di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah dekat sini semalam.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Shamsul Bahar berkata, Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) dipilih sebagai rakan strategik untuk menjayakan program Komuniti Lestari.

“Kelantan Utilities Mubaarakan berperanan menyebarkan maklumat dan mengadakan program-program kepada komuniti termasuk di masjid-masjid.

“Rakan strategik akan memberi penerangan kepada komuniti tentang gaya hidup hijau yang meliputi pelbagai cara termasuk mengawal pembuangan sisa bahan buangan,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan menggabungkan tiga elemen utama iaitu masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

Kata beliau juga pembangunan bandar yang tidak terancang merupakan faktor utama pelepasan gas rumah kaca.

Katanya, ia menyumbang kepada lebih 60 peratus pengeluaran gas rumah kaca dan memberi kesan besar terhadap pemanasan global dan perubahan iklim.

“Insiden ini satu cabaran besar yang harus ditangani. MGTC yang merupakan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air menekankan kehidupan kelestarian hijau.

“Antara sasarannya mengurangkan pembuangan sisa dan pembuangan gas ke rumah kaca,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2022