Khidmat Malaysia Selangor urus RM1.4 juta sumbangan banjir

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PETALING JAYA: Khidmat Malaysia Selangor telah berjaya menguruskan dan menyampaikan sejumlah RM1.4 juta sumbangan orang ramai kepada mangsa banjir Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Selangor, Datuk Rushdan Rusmi berkata, tanggal 17 Disember 2021 menjadi tarikh bersejarah bagi Khidmat Malaysia Selangor.

- Advertisement -

Katanya, tragedi banjir besar melanda Selangor itu menjadi satu pengalaman yang sangat mencabar, malah ramai dalam kalangan petugas sendiri juga adalah mangsa banjir.

“Daripada sembilan daerah, lapan daerah terkesan dengan banjir ketika itu, dan itu termasuk juga daripada petugas kita sendiri yang menghadapi banjir ketika itu

“Khidmat Malaysia peringkat kawasan ketika itu baru mengalami pertukaran tampuk kepimpinan memandangkan tragedi banjir itu berlaku selepas Muktamar Agung Tahunan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Khidmat Malaysia Selangor, di Hotel Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Menurut Rushdan, situasi itu sangat mencabar, bagaimanapun, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di Selangor ketika itu.

Terutamanya kepada pimpinan Khidmat Malaysia pusat, PAS Selangor, PAS Kawasan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak lain yang terlibat.

“Alhamdulillah kita dapat bersama meraikan petugas yang bertungkus lumus sepanjang tempoh banjir tersebut.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas bantuan dan khidmat membantu mangsa banjir seluruh Selangor,” katanya.

Menurutnya lagi, Khidmat Malaysia Selangor juga telah  menerima anugerah Pengurusan Khidmat Malaysia terbaik di Malaysia, dan Khidmat Malaysia terbaik 2019-2021. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -