Tarbiah politik di bulan Ramadan

- Advertisement -

BULAN Ramadan sinonim dengan ungkapan sebagai bulan tarbiah. Ia adalah bulan ‘tarbiyah jasadiyyah’ dengan ibadah puasa yang diwajibkan untuk mendidik jasad kita supaya menghargai nikmat makan dan minum yang dikurniakan Allah SWT.

Ramadan adalah bulan tarbiyah ruhiyyah dengan segala macam hidangan ibadah-ibadah yang menyucikan rohani daripada sifat-sifat yang keji seperti sombong, angkuh, marah, membazir dan lain-lain lagi.

Ramadan adalah bulan tarbiyah jihadiyyah kerana seseorang itu berjaya melawan nafsunya untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan juga bulan kemenangan kepada umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya seperti kemenangan dalam Perang Badar, pembukaan Makkah dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

Ramadan juga ialah bulan ‘tarbiyah siyasiyyah’ (tarbiyah politik) kerana Rasulullah SAW telah mengendali urusan-urusan penting dalam politik Islam pada bulan ini, antaranya ialah:

Tarbiah siyasiyyah dalam Perang Badar

Perang Badar perlu dilihat dari sudut politik Islam yang lebih luas sama ada sebelum dan selepasnya, bukan sahaja dari sudut peperangan bersenjata semata-mata.

Perang pertama dalam sejarah Islam ini berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW.

Fatrah (zaman) Madaniyyah ini dilengkapkan dengan penurunan ayat-ayat yang berkait seperti hubungan manusia dengan manusia, khususnya ayat-ayat yang berkait dengan politik pemerintahan, hak-hak orang bukan-Islam dalam negara Islam, hukum-hakam jenayah dan termasuk juga hubungan negara Islam dengan negara bukan Islam sama ada ketika perang mahupun damai.

Dalam tempoh ini, Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang mengizinkan kepada Nabi S.A.W untuk berperang, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Perangilah orang-orang Musyrikin keseluruhannya.” (al-Taubah: 36)

Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya; Fiqh al-Jihad dan juga Dr. Haykal di dalam tesis PhDnya, Al-Jihad wa al-Qitaal fi al-Siyasah al-Syari’yyah (Jihad dan Perang Dalam Politik Islam) antara lain menyebut bahawa, dari segi politik Islam, pengisytiharan perang ke atas negara bukan Islam hanya boleh dilakukan oleh negara Islam.

Adapun individu Muslim atau organisasi tidak boleh mengisytiharkan perang ke atas negara bukan-Islam kerana ia salah dari sudut fiqh al-Jihad.

Kecuali jika sekiranya negara bukan Islam menyerang dan menakluk negara Islam, maka setiap orang Islam wajib bangkit untuk mempertahankan diri sebagaimana yang berlaku di Palestin.

Inilah apa yang berlaku dalam Sirah Nabawiyyah, di mana Rasulullah SAW tidak mengisytihar perang ke atas Musyrikin Makkah semasa Baginda berada di Makkah. Akan tetapi ianya berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah.

Ini adalah satu bentuk tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya yang dipilih oleh Allah SWT berlaku pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Antara tarbiyah siyasiyyah yang berlaku pada peperangan ini juga ialah konsep musyawarah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda mahu memutuskan tempat berkubu bagi tentera Islam.

Rasulullah SAW menerima pandangan salah seorang sahabatnya kerana melihat ia adalah strategi yang terbaik. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam mendahului demokrasi Barat yang memberikan hak kepada rakyat untuk menegur dan memberi pandangan kepada ketua negara.

Tarbiah siyasiyyah dalam pembukaan Makkah

Peristiwa Pembukaan Makkah yang berlaku pada bulan Ramadan, tahun kelapan Hijrah juga adalah satu contoh tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Jika sekiranya Perang Badar dilihat sebagai politik perang antara negara Islam dan bukan Islam, peristiwa Pembukaan Makkah adalah contoh terbaik politik damai mahupun politik matang dan sejahtera yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Ketika itu dan sebelumnya, tamadun-tamadun manusia yang lain menunjukkan politik dendam ke atas musuhnya setelah satu-satu tempat itu ditakluk, hingga berlakunya pertumpahan darah, perampasan hak dan seumpamanya sebagaimana ditunjukkan oleh tamadun Rom dan Parsi.

Ini termasuk juga kuasa-kuasa selepas daripada zaman Islam seperti penaklukan tentera Salib ke atas Baitulmaqdis yang membunuh dan menyembelih penganut-penganut Islam dan Yahudi sebagaimana disaksikan sendiri oleh ahli-ahli sejarah Barat.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan Kristian ketika merampas Sepanyol dari tangan umat Islam, bukan sahaja mereka dibunuh bahkan kubur-kubur mereka dicungkil untuk memadamkan tanda-tanda kewujudan Islam.

Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, Rasulullah SAW telah menunjukkan budaya politik matang dan berakhlak terhadap negara Makkah yang dibuka oleh Baginda. Tidak berlaku pertumpahan darah dan perampasan hak, walaupun permusuhan begitu ketara di antara mereka.

Bahkan Rasulullah SAW mengisytiharkan Deklarasi Makkah dengan memberikan pengampunan kepada sebahagian besar penduduk Makkah yang pernah menzaliminya dan orang-orang beriman yang bersama dengan Baginda.

Ini adalah kebijaksanaan berpolitik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagi memastikan kestabilan politik berlaku di dalamnya dan pandangan jauh Rasulullah SAW dari sudut politik dakwah untuk menarik orang-orang Makkah kepada Islam.

Ramadan dan tarbiyah siyasiyyah

Ramadan adalah bulan yang mendidik umat Islam untuk berpolitik dengan politik Islam. Politik di dalam Islam adalah sebahagian daripada ajaran yang tidak boleh dipisahkan kerana ianya adalah asas dan rukun yang penting di dalam Islam.

Al-Imam al-Qurtubi menegaskan di dalam tafsirnya ketika menafsirkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya aku ingin jadikan di atas dunia ini seorang khalifah.” Malaikat berkata, “Adakah kamu mahu jadikan di atasnya mereka yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah?” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui”.” (al-Baqarah: 30)

Ayat ini menjadi hujah bahawa politik dan urusan pemerintahan adalah merupakan salah satu rukun-rukun Islam yang penting. (lihat Tafsir Al-Qurthubi)

Dalam al-Quran juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh anbiya’ sebagai ahli politik yang mentadbir urusan dunia dengan petunjuk wahyu daripada Allah SWT atau menegur dan menasihati pemerintah yang zalim supaya mengikut petunjuk Allah SWT.

Nabi Daud dan Nabi Sulaiman diceritakan di dalam al-Quran sebagai raja yang adil dan bijaksana yang mentadbir Kerajaan dengan panduan wahyu dari Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnianya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambanya yang beriman.” Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan Kerajaan) Nabi Daud, dan setelah itu Nabi Sulaiman berkata: “Wahai sekalian rakyat! Kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan). Sesungguhnya yang demikian itu adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”.” (al-Naml: 15-16)

Begitu juga Nabi Yusuf, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah caranya kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi (Mesir), ia bebas tinggal di bumi itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Yusuf: 56)

Nabi Musa diceritakan dalam al-Quran seperti seorang ahli politik pembangkang yang menegur dan menasihati Firaun supaya telus dan adil di dalam pemerintahannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan kamu, maka lepaskanlah Bani Israel supaya mereka bersama kami dan kamu seksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang dengan ayat (keterangan) Tuhan kamu dan salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk.” (Taha: 47)

Petunjuk nabawiyyah di atas jelas menunjukkan keprihatinan Rasulullah SAW untuk mendidik umat Baginda mengenai politik Islam di sepanjang masa termasuklah di bulan Ramadan.

Ia mengajar kita bahawa Islam adalah agama yang mengikat seseorang dengan Tuhannya, bukan sahaja pada ibadah-ibadah khususiyyah seperti ibadah puasa pada bulan Ramadan, bahkan juga dalam urusan-urusan kehidupan manusia yang lain khususnya politik.

Di samping itu juga, kita harus mengambil iktibar dari sudut politik dari peristiwa Pembukaan Makkah dengan keadaan semasa negara di mana PAS telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Jika Rasulullah SAW mampu memberikan contoh terbaik politik matang dan sejahtera yang diaplikasikan ketika peristiwa Pembukaan Makkah, maka kita sebagai umat terkemudian harus mengikuti langkah Baginda untuk memberikan contoh terbaik kepada rakyat jelata betapa indahnya politik Islam.

Insya-Allah jika kita mampu memberikan gambaran terbaik dan jelas kepada rakyat jelata mengenai kebaikan dan kemurnian politik Islam, akan hilanglah tanggapan buruk dan jelek yang dipotretkan selama ini ke atas politik dan Kerajaan Islam.

Sesungguhnya Ramadan ini adalah peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping untuk menilai kembali perjalanan kita dalam usaha membawa politik Islam ke jalan yang lebih baik.

Kita adalah penerus perjuangan Rasulullah SAW, oleh itu tunjukkanlah contoh terbaik untuk sekalian rakyat jelata. Buktikan Islam mampu mentadbir dengan baik dan saksama. Jika kita gagal, maka buruklah Islam dan politiknya di mata masyarakat.

Ambillah pengajaran dan jadikan segala tarbiah yang dicoretkan di atas sebagai sandaran perjuangan politik Islam. Jadikan politik matang dan sejahtera sebagai asas berpolitik terbaik untuk menjadi pentadbir di setiap peringkat.

Jadikan Ramadan kali ini bulan terbaik untuk mentarbiyah diri, keluarga, masyarakat dan negara. Luaskan skop tarbiyah Ramadan kita, jangan kita putuskan hubungan dengan urusan politik setelah masuknya bulan Ramadan dengan alasan ia adalah bulan tarbiah rohani untuk menyucikan diri semata-mata.

Sesungguhnya Islam adalah cahaya kepada umat manusia dan menjadi asas, pedoman serta meliputi seluruh kehidupan manusia baik ketika hidup di muka bumi ini mahupun setelah diambil nyawanya.

Semoga Ramadan kali ini bermanfaat untuk kita semua.

Islam Menyatukan Ummah

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -