Sokong usaha kerajaan elak perkhidmatan beca pupus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha kerajaan negeri bagi memastikan beca sebagai kenderaan tradisional di Kelantan dipertahan merentasi generasi turut mendapat sokongan pelbagai pihak.

Malah mereka menyifatkan usaha itu patut diberi perhatian kerana kebimbangan perkhidmatan beca boleh pupus apabila tiada pengganti pengayuh yang ada sekarang.

Pengerusi Pertubuhan Integrasi Media Sosial KB LC Fang berkata, beca merupakan warisan seni budaya pengangkutan awam yang penting di bandar Kota Bharu pada zaman kegemilangannya.

- Advertisement -

Katanya, beca antara ikon yang menjadi tarikan pelancong apabila ia dihias cantik seperti beca di Melaka.

“Beca generasi sekarang perlu ditampilkan dalam wajah yang lebih kreatif seperti di Melaka. Dan sudah pasti memerlukan kesinambungan generasi muda dalam usaha menjana perkhidmatan secara lebih komersil.

“Kita optimis dengan bantuan kerajaan, perkhidmatan beca boleh dibangunkan menjadi aset pelancongan yang lebih proaktif dengan menjadikan hotel serta kompleks membeli belah sebagai pusat hentian,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini anggota Exco kerajaan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman mempelawa anak-anak muda yang berminat menceburi kerjaya sebagai pengayuh beca bagi memastikan kenderaan itu tidak pupus.

Malah kerajaan negeri menyediakan bantuan tahunan sebanyak RM1,200 kepada pengayuh beca yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC).

Selain itu kerajaan negeri juga menambah baik beca dengan memasang motor yang digerakkan dengan kuasa bateri.

Fang juga berkata, tumpuan perkhidmatan beca boleh dilebar kepada membawa pelancong merentas zon dan lokasi menarik di bandar Kota Bharu.

Oleh itu katanya usaha kerajaan negeri itu perlu disokong dan bukan diperlekeh seperti dilakukan segelintir pihak yang memandang serong terhadap langkah tersebut. – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -