Rakyat Kelantan merubah rentak politik Mahathir

- Advertisement -

PINDAAN Perlembagaan Persekutuan sedang dibahaskan di Dewan Rakyat yang diadakan secara Sidang Khas pada minggu ini. Dalam penggal ini, sudah dua pindaan diadakan sebelumnya iaitu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan umur minimum layak sebagai pemilih (Undi18).

- Advertisement -

Pindaan kali ini melibatkan RUU Antilompat Parti yang apabila ia dibentang bahas untuk diluluskan segera melalui Sidang Khas, ia telah mengisyaratkan bahawa tarikh PRU15 semakin dekat. Dari satu sudut, menunjukkan parti-parti politik sangat mengambil iktibar ‘gejala katak’ dalam kalangan politikus.

Bagusnya, ia satu lagi tingkat integriti dan usaha mencegah dari berlaku tindakan sedemikian di mana menyumbang kepada ketidakstabilan politik. Bermakna segala kesangsian, kemungkinan, manipulasi dan risiko sedang dielakkan menerusi pindaan yang akan meneguhkan politik Malaysia selepas ini.

Pindaan Perlembagaan apabila dibicarakan tentunya dalam kalangan pemerhati politik tidak dapat melupakan pindaan pada tahun 1993 mengenai kuasa Raja-raja. Ia kekal dilihat sehingga hari ini sebagai satu sejarah teramat besar dan berani dilakukan oleh kerajaan ketika itu di Parlimen.

Tetapi bagi rakyat Kelantan, faktor pindaan itu titik puncanya adalah dari keputusan PRU tahun 1990 di mana negeri ini beralih penguasaan kepada Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Kerajaan campuran PAS, S46 dan BERJASA telah berjaya menumbangkan Umno.

Rakyat Kelantan dilihat bangkit menunjukkan pendirian tidak senang kepada Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu. Bagi Mahathir pula, kekuasaan yang digenggamnya sejak tahun 1981 itu sedang retak dan tercabar serta boleh melarat lebih teruk.

Lebih-lebih lagi kejatuhan di Kelantan ini terhasil dari rentetan perpecahan dalaman Umno yang kronik pada tahun 1987. Bukan sahaja terbentuk Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang merupakan serpihan Umno, tetapi krisis itu juga menyebabkan Umno diharamkan.

Malah rakyat Kelantan melihat Mahathir memperkuatkan cengkaman politiknya secara kediktatoran di mana pada tahun sama juga berlaku Operasi Lalang. Kegagalan politik ketika itu dilihat telah memangsakan orang yang tidak bersalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Para pemimpin pembangkang dijadikan ‘kambing hitam’ dan ia sebagai satu ‘notis amaran’ buat penentang politik Mahathir. Lesen akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh, The Sunday dan Watan turut dibatalkan ketika itu. Apatah lagi sebelumnya rakyat dalam kalangan kaum Cina juga menunjukkan protes terbuka. 

Kegelisahan Mahathir menangani politik semakin tidak dapat dibendung kesan PRU tahun 1990 itu kerana yang memimpin S46 adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Pencabarnya untuk kerusi Presiden Umno ketika itu dilihat mencetus kebangkitan rakyat yang menggugat beliau dengan menang PRU di Kelantan.

Amarah Mahathir tidak dapat disembunyikan apabila dalam ucapannya pada pindaan 1993 itu menyinggung Sultan Kelantan. Ucapan berbaur kecaman dan ugutan itu menyalahkan tindakan Sultan Kelantan menunjukkan sokongan politik kepada kerabat (Tengku Razaleigh) antara sebagai punca pindaan itu.

Menerusi pindaan itu beliau bukan sahaja dapat memihakkan sentimen rakyat kepadanya dan mencalar reputasi Raja-raja dengan propaganda seiring dikembangkannya. Lebih dari itu adalah untuk memperteguhkan kuasa politik Perdana Menteri dan Kerajaan.

Biarpun berselimut dalam nama demokrasi dan kehendak rakyat, pindaan itu secara strategiknya telah mengubah senario politik dan sikap pemerintahan Mahathir. Beliau bukan sahaja semakin mencipta banyak musuh daripada kalangan istana dan ahli-ahli politik, tetapi juga rakyat awam.

Dinafikan kenaikan pangkat, ditukar atau ditempatkan ke pedalaman, dan pelbagai bentuk tekanan dikenakan kepada rakyat atau penjawat awam yang tidak ‘memilih’ beliau. Apatah lagi ke atas rakyat Kelantan sejak 1990 itu didiskriminasi, dibatalkan kelulusan projek dan disekat menerima hak-hak negeri.

Selain pelbagai infrastruktur kemudahan asas, Kelantan juga telah dinafikan hak besar royalti petroleum yang pernah ditandatangani. Begitu juga surat ‘ugutan’ beliau kepada Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan pelaksanaan syariah di negeri ini.

Namun, semua itu telah tinggal nostalgia. Mahathir akhirnya mengakui kuasa rakyat yang disaksikan beliau. Selepas meletak jawatan pada tahun 2003 dan kembali ke jawatan sama pada 2018, beliau jelas semakin akur dengan pemilik demokrasi.

Pilihan rakyatlah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor bertukar kerajaan. Kebencian rakyatlah Barisan Nasional yang berkuasa 60 tahun ditumbangkan. Peralihan rakyatlah membawa Pakatan Harapan ke Putrajaya.

Aspirasi rakyatlah hingga terbentuknya Perikatan Nasional dan rasa muak rakyat jugalah yang menjadi penyebab hampir separuh tidak turun mengundi pada PRN Johor baru-baru ini. Kecenderungan rakyat kini tidak lagi ‘terikat’.

Walaupun mungkin masih ada sisa-sisa hasrat dan keegoan untuk mengawal dan memperalat tindakan ke atas rakyat, nampaknya Mahathir kini lebih berwaspada. Malah, menyeru sokongan politik dan kebersamaan rakyat dalam banyak isu negara mutakhir ini. 

Hal sama juga dilihat sedang mempengaruhi semua parti politik sehingga antaranya membawa kepada pindaan-pindaan mutakhir ini, termasuk penggubalan pelbagai akta baharu. Juga pendekatan politik yang memihak dan memenangkan rakyat.

Apapun, rakyat Kelantan mencipta sejarah di mana negeri ini juga dijuluki sebagai ‘Universiti Politik Terbuka’ telah ‘mengajar’ politikus hebat seperti Mahathir hingga merubah rentak politiknya. Terima kasih Tun Mahathir atas ‘permainan’ dan ‘jasa’ politik beliau. 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -