Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
Ramai pemohon pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 tidak sabar-sabar lagi menanti tarikh 20 April ini, iaitu hari bayaran sekali gus mula dibuat.
Sesetengah pemohon merancang untuk melakukan pelbagai perkara, terutama mereka yang membuat pengeluaran maksimum.
Selepas melangsaikan komitmen wajib seperti membayar hutang dan memperuntukkan sebahagian untuk simpanan, anda mungkin ada duit lebih. Selain ahli keluarga atau rakan-rakan yang mungkin sekadar meminta anda belanja nasi beriani kambing ketika berbuka puasa, ada pihak lain yang turut berminat dengan anda.
Scammer! Ya, scammer yang tidak dikenali akan mengharu-birukan hidup anda dengan kelicikan menggunakan pelbagai taktik yang amat meyakinkan.
Malah KWSP melalui media sosial agensi itu, mengingatkan pencarum supaya berhati-hati. Sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memastikan keselamatan maklumat peribadi, tidak memuat turun sebarang aplikasi mencurigakan daripada sumber yang tidak sah.
Bahaya scammer bukan main-main kerana sejak beberapa tahun lalu, kegiatan sindiket yang melakukan penipuan secara dalam talian semakin membimbangkan.
Sepanjang lima tahun lalu (2017-2021), sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara.
Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Rozeni Ismail, berkata sepanjang tempoh sama, lebih 30,000 individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan ini ditahan dan daripada jumlah itu, lebih 25,000 individu dihadapkan ke mahkamah.
Katanya, kebanyakan yang dituduh adalah pemilik akaun keldai, manakala baki yang tidak dituduh diletakkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959, termasuk dibuang daerah bagi suatu tempoh masa tertentu.
Carian dalam Scam Alert di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu rmp.gov.my, mendapati kegiatan penipuan melibatkan pelbagai aspek dalam kehidupan setiap hari.
Ini termasuk perkara terkini atau isu semasa seperti yang paling hangat sekarang ialah pengeluaran khas KWSP dan menjelang musim haji, scammer akan muncul dengan tawaran pakej haji.
Dalam keadaan biasa, penipuan membabitkan tawaran pakej perkahwinan, pinjaman wang palsu, penjualan kereta terpakai luar negara, kutipan derma dalam talian, pelaburan dalam talian, jual beli dalam talian atau mereka yang mencari kasih sayang akan terperangkap dengan `love scam’.
Kenali scammer
Hebat sangatkah scammer? Jika tidak handal, mustahil ribuan orang menjadi mangsa. Namun, sebenarnya scammer hanya mencuba nasib seperti kata pepatah `untung sabut timbul, untung batu tenggelam’.
Mereka sebenarnya hanya ‘mencuba nasib’ dengan menghubungi bakal mangsa secara rawak. Jika mengetahui modus operandi atau taktik yang sering digunakan oleh sindiket tersebut, risiko anda menjadi mangsa dapat dikurangkan.
Rahsianya ialah jangan cepat teruja jika menerima berita gembira seperti memenangi hadiah lumayan atau sejumlah wang yang banyak. Pada masa sama, tidak panik atau takut apabila diberitahu perkara seperti akan ditangkap pihak berkuasa kerana terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Sebaliknya tenang-tenang sahaja, hubungi atau lapor segera aktiviti mencurigakan itu melalui saluran yang disediakan oleh pihak berkuasa.
Malah dengan pengetahuan mengenai scammer, anda boleh boleh menghiburkan diri dengan mengenakan semula scammer seperti `hai, rajinnya awak. Hari Ahad pun kerja’ (bagi negeri yang cuti pada Sabtu dan Ahad) apabila menerima panggilan dari mahkamah pada hari Ahad yang memberitahu ada waran tangkap terhadap anda.
Bagaimana scammer beroperasi
1. Menyamar!
Pelakon terkenal seperti Fattah Amin pun tidak akan mampu berlakon seperti mereka. Pelbagai gaya penyamaran dilakukan seperti:
Pegawai agensi kerajaan
Scammer menelefon mangsa dan memberitahu mereka adalah pegawai agensi kerajaan seperti mahkamah, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Bank Negara Malaysia (BNM).
Penipuan yang dilakukan adalah berkaitan bidang kerja agensi berkenaan seperti jika pegawai polis, mangsa diberitahu terbabit dalam kegiatan jenayah seperti penggubahan wang haram. Dari sini, scammer akan mula meminta segala maklumat peribadi yang membolehkan mereka merompak secara dalam talian.
Pegawai BNM
Topik penipuan seperti ada orang menggunakan kad kredit untuk membuat pembelian dalam jumlah besar. Namun yang pelik, scammer akan meminta data peribadi berkaitan kad akaun atau akaun bank. Jika anda beri, sah wang dalam akaun akan lesap.
Ejen KWSP
I-Sinar, i-Citra dan terkini, pengeluaran khas. Anda menerima panggilan daripada orang yang mengaku sebagai ejen KWSP yang meminta nombor kad pengenalan bagi membantu pengeluaran wang.
2. Scam Cinta (Love Scam)
Scammer dengan identiti palsu menggunakan media sosial dan laman web berpacaran untuk mencari mangsa. Scammer akan berpura-pura berminat bercinta dengan anda. Kalau dulu-dulu, orang kata `lembut gigi dari lidah’. Scammer amat penyabar kerana akan berusaha meyakinkan mangsa, kadang-kadang mengambil masa hingga berbulan-bulan.
Apabila mangsa sudah `mabuk cinta’, antara taktik yang digunakan adalah tiba-tiba memberitahu berada dalam keadaan kecemasan dan memerlukan bantuan kewangan atau membeli hadiah untuk mangsa, tetapi hadiah disekat di kastam. Akhirnya, mangsa akan kehilangan wang dalam jumlah yang besar.
3. Pinjaman Peribadi
Scammer menelefon dan menghantar e-mel menawarkan pinjaman peribadi dengan tawaran menarik, tetapi sebenarnya tidak masuk akal seperti kadar faedah 0 peratus dan dijamin lulus. Elemen penipuan muncul apabila scammer meminta bayaran deposit atau pendahuluan
Lebih pelik ialah mendapat panggilan telefon memberitahu bahawa pinjaman diluluskan sedangkan anda tidak pernah memohon. Hati-hati, jangan kerana mahukan wang mudah, akhirnya menanggung kerugian.
4. Pelaburan
Sama ada melalui media sosial atau ada rakan mengajak melabur dengan jaminan untung besar. Hati-hati, lebih-lebih lagi anda diberitahu pelaburan itu tidak mempunyai risiko. Elakkan pelaburan membabitkan syarikat atau individu yang tidak mempunyai lesen. Ada syarikat yang membuat pelaburan meragukan menggunakan taktik seperti mengadakan promosi di hotel, manakala individu berkaitan syarikat terbabit dilihat hebat menggunakan kereta mewah dan menaiki jet peribadi.
5. Pembelian dalam talian
Scammer juga wujud dalam operasi jual beli dalam talian. Ini termasuk scammer yang menjual sesuatu barangan menggunakan media sosial. Wang sudah dibayar tetapi barangan tidak sampai, manakala akaun individu scammer kemudian ghaib dari media sosial. Selain itu, ada laman web palsu, terutama di luar negara yang menjual barangan tertentu yang sebenanya tidak wujud.
Ada juga scammer menipu pelanggan untuk membayar sesuatu yang mereka tidak beli. Jika anda menerima barang yang perlu dibayar apabila sampai di rumah (COD), hati-hati kerana anda mungkin akan membayar terhadap barang yang tidak anda beli.
6. Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)
Kalau anda mendapat mesej yang mminta maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kata laluan perbankan dalam talian, kod CVV pada kad bank dan nombor TAC, hati-hati kerana semua ini untuk akses untuk melesapkan wang dalam akaun bank anda.
7. Aplikasi palsu
Taktik lebih canggih dengan membuat aplikasi palsu yang kelihatan tulen. Dalam kes KWSP, terdapat aplikasi i-Sinar yang kononnya untuk memudahkan urusan pengeluaran duit. Aplikasi palsu dari BNM pula menyebabkan wang mangsa lesap apabila berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu itu.
8. Panggilan antarabangsa
Hati-hati dengan panggilan dari nombor tidak kenali dari pelbagai negara seperti Maldives. Modus operandi scammer ialah pemanggil membuat panggilan dalam satu nada dering sahaja dan terus memutuskan panggilan. Menjawab panggilan atau menelefon semula nombor itu dikatakan memudahkan scammer mengakses akaun peribadi anda tanpa disedari.
Scammer tidak ketinggalan melakukan inovasi. Mereka tidak statik dan melakukan pelbagai cara penipuan yang berubah mengikut keadaan semasa.
Selain membuat panggilan telefon yang orang ramai telah lama tahu, scammer kini menggunakan taktik menghantar surat rasmi palsu yang kelihatan seperti benar-benar dihantar oleh agensi kerajaan seperti LHDN.
Dalam kes LHDN, surat palsu dihantar kepada mangsa untuk memaklumkan terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa kemudian dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDNM.
Tidak mustahil surat rasmi palsu agensi lain juga akan digunakan. Sebenarnya, kepalsuan surat ini mudah dikesan, tetapi scammer seperti pemancing yang melontar umpan, kadang-kadang mengena apabila sesetengah individu membuat keputusan secara terburu-buru.
Petua paling mudah mengelakkan menjadi mangsa ialah bertenang sahaja. Kadang-kadang scammer yang lebih terdesak untuk membuat kerja dengan cepat. Elakkan membuat sebarang keputusan atau tindakan melalui telefon, mesej atau e-mel.
Jika scammer memberitahu anda terbabit dalam sesuatu kesalahan berkaitan mana-mana agensi kerajaan pun seperti PDRM atau LHDN, pergi sendiri ke agensi berkenaan untuk mendapatkan makluman sahih.
Kerajaan sebenarnya tidak berdiam diri dan telah mengambil tindakan terhadap scammer. Setakat ini, lebih 1.6 bilion panggilan telefon dan 1,500 laman sesawang mencurigakan disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Malah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) telah membangunkan sistem dan aplikasi yang membolehkan orang ramai menyemak mana-mana akaun bank dan nombor telefon yang diragui.
Melalui semakmule.rmp.gov.my atau menggunakan aplikasi Check Scammers CCID, jika individu tersebut mempunyai rekod jenayah, maklumat mengenai nombor akaun bank dan nombor telefon itu akan terpapar.
Jika orang awam mengesan sebarang bentuk penipuan kewangan, mereka disarankan untuk membuat laporan kepada Pusat Tindakan Penipuan CCID yang telah beroperasi sejak 15 Februari 2021. Ia boleh dihubungi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, di talian 03-26101559 dan 03-26101599.
Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada KPDNHEP menerusi halaman portal e-Aduan, menghantar emel ke [email protected], atau hubungi WhatsApp di +6019 279 4317. Aduan juga boleh dihantar kepada FOMCA di portal e-aduan FOMCA atau hubungi +603 7803 6000 / +603 7805 0009.
Selain tindakan pihak berkuasa, usaha membanteras scammer dan penipuan, memerlukan penyertaan semua pihak supaya masyarakat di peringkat akar umbi lebih berpengetahuan dan tidak mudah menjadi mangsa. – HARAKAHDAILY 15/4/22