Kelantan peruntuk RM4.5 juta bantu usahawan muda

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta sebagai dana khas Bantuan Usahawan Muda di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, walaupun berdepan dengan ujian akibat pandemik, namun usahawan terbabit tetap gigih untuk bangkit semula.

- Advertisement -

“Kita memahami kesulitan yang mereka hadapi. Kerajaan berusaha membantu mereka yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas.

“Bantuan secara tunai sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan usahawan belia yang terjejas perniagaan mereka sepanjang pandemik Covid-19,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan penyampaian bantuan berkenaan kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan, Kompleks Kota Darulnaim.

Taklimat program berkenaan disampaikan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan (U-BeS) Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Wan Roslan juga berkata, beliau kagum melihat semangat keusahawanan belia dan beliawanis di Kelantan yang gigih berusaha selepas berdepan dengan kesukaran akibat wabak sebelum ini.

Menurutnya juga belia dan beliawanis yang berminat mendapat bantuan itu boleh mengambil borang permohonan di Pusat Khidmat Dun bermula 12 April hingga 31 Mei ini. – HARAKAHDAILY 14/4/2022

- Advertisement -