Wujudkan tribunal khas adili kes lompat parti

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan tribunal, mahkamah khas atau jawatankuasa khas bagi menilai kes lompat parti oleh wakil rakyat.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata entiti itu perlu diwujudkan untuk menggantikan kerajaan menentukan jika individu terbabit lompat parti atau sebaliknya.

- Advertisement -

“Saya berpandangan perlu ada tribunal atau mahkamah khas bagi membicarakan soal lompat parti ini kerana jika kita bergantung dengan mahkamah sedia, mahkamah sedia ada juga terbeban dengan kes yang tertunggak, perbicaraan kes yang sudah lama.

“Maka bagi saya wajarlah ditubuhkan sebuah mahkamah atau tribunal khas atau jawatankuasa khas untuk menentukan sama ada berlaku lompat parti atau tidak,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Tawfik, tindakan itu bagi mengelakkan undang-undang disalah tafsir oleh pihak yang menyatakan kerajaan menjadikan undang-undang sebagai alat, atau menggunakan demi kepentingan politik.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk mewujudkan mahkamah khas memandangkan ia sudah pun dipraktik melalui kes kesalahan trafik, tuntutan pengguna serta kes juvana.

RUU Lompat Parti tidak menjamin kestabilan politik

Ditanya jika RUU Anti Lompat Parti akan memberi kestabilan kepada politik negara, kata Dr Mohammad Tawfik, ia tidak menjamin memandangkan banyak aspek lain yang lebih berkesan dalam mengekalkan kestabilan politik.

“Kita perlu lihat elemen lain yang mampu untuk mengekalkan kestabilan politik negara dan bagaimana parti mendisiplinkan calon, ahli-ahli untuk setia kepada parti agar tidak berlaku lompat parti

“Kedua, pendidikan politik kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin parti politik supaya mereka jujur dengan amanah yang diberikan dan tidak melakukan perkara yang boleh menggugat kestabilan negara,” katanya.

Menurut beliau, jika dua elemen tersebut ditekankan kepada ahli dan pemimpin parti, beliau yakin ia dapat memberi kestabilan kepada politik negara dan bukan bergantung kepada aspek perundangan semata-mata.

“Saya yakin kestabilan politik negara bukan sahaja bergantung kepada undang-undang, tetapi kepada bagaimana parti politik itu membiasakan kekuatan peraturan yang ada dalam parti mereka dengan tidak memilih lagi pemimpin yang tidak jujur untuk menganggotai parti selepas ini.

“Contohnya, bagaimana pengalaman PAS itu, saya setuju benar dengan apa yang dilakukan oleh PAS, iaitu bai’ah khas untuk menjadi calon,” katanya.

Menurutnya, bai’ah yang diperkenalkan PAS dilihat dapat mendisiplin serta mengikat wakil rakyat PAS supaya amanah dan jujur kepada mandat yang diberikan rakyat.

Malah katanya, jika pemimpin menentang amanah itu, kesannya akan dapat dirasai bukan sahaja kepada diri mereka, juga kepada negara yang tergugat dengan tindakan tidak bertamadun itu. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -