Serangan kereta api bawah tanah di Brooklyn: Polis buru Frank R. James

- Advertisement -

NEW YORK: Frank R. James dari Philadelphia telah dikenalpasti sebagai ‘orang yang berkepentingan’ dalam kes seorang lelaki bersenjata meledakkan bom asap dan melepaskan 33 das tembakan rambang di dalam sebuah kereta api bawah tanah di Brooklyn pada pagi Selasa (12 April), yang menyebabkan 23 orang cedera.

Ketua Detektif NYPD, James W. Essig dalam sidang akhbar pada malam Selasa berkata bahawa James, 62, menyewa sebuah van U-Haul, yang kuncinya ditemui di tempat kejadian tembakan yang berlaku pada 8.24 pagi (waktu tempatan) di kawasan kejiranan Sunset Park Brooklyn.

- Advertisement -

“Kami sedang mencari Frank R James. Kami tahu dia menyewa van U-Haul itu,” tegasnya.

James yang mempunyai alamat di Wisconsin dan Philadelphia tidak dinamakan sebagai suspek tetapi  pihak polis ingin menentukan sama ada dia adalah saksi kepada serangan tersebut.

“Van itu disewa di Philadelphia,” ujar Essig.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 orang ditembak dan 13 lagi cedera sama ada disebabkan kepulan asap atau ketika cuba menyelamatkan diri untuk keluar dari kereta api bawah tanah tersebut.

Sehubungan itu, polis telah menemui beg berisi bom asap, fius hobi, kapak serta petrol dan kunci van U-Haul di lokasi kejadian. 

Imej grafik menunjukkan kesan daripada keganasan ketika mangsa terbaring berlumuran darah di atas platform di dalam stesen 36th Street, lapor Jessica Moore dari CBS2.

Pesuruhjaya NYPD, Keechant Sewell berkata, seorang lelaki memakai jaket utiliti yang diikat pada topeng gas tiba-tina meletupkan bom asap di dalam kereta yang sedang bergerak itu.

“Kereta api pada masa itu mula dipenuhi asap. Dia kemudian melepaskan tembakan rambang terhadap orang ramai yang berada di dalam kereta api bawah tersebut,” ujarnya. 

Video dari dalam kereta api menunjukkan keadaan huru-hara ketika penumpang kereta api bawah tanah tersebut cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

Penyiasat berkata lelaki bersenjata itu, yang digambarkan sebagai seorang lelaki kulit hitam  dengan ketinggian 165 sentimeter. – Agensi

- Advertisement -