Filem India `Beast’ diharamkan di Kuwait dan Qatar

- Advertisement -

NEW DELHI: Filem India `Beast’, yang mula ditayangkan hari ini, diharamkan di Kuwait dan Qatar selepas kerajaan kedua-dua negara tidak bersetuju dengan gambaran stereotaip filem itu terhadap orang Islam sebagai pengganas dan beberapa dialog antiPakistan.

Filem Tamil yang disifatkan sebagai komedi aksi, lakonan Thalapathy Vijay dan Pooja Hegde, memaparkan Vijay sebagai ejen perisikan kerajaan yang terperangkap dalam pusat beli-belah bersama pengganas. `Beast’ juga dikecam oleh Liga Muslim Tamil Nadu India (TNML) yang menuntut filem itu tidak ditayangkan di Tamil Nadu.

- Advertisement -

Menurut Times of India, walaupun larangan di Kuwait mungkin tidak memberi kesan ketara terhadap filem box office itu, keadaan di Qatar berbeza kerana negara Teluk itu mempunyai jumlah penonton kedua terbesar filem India.

Etnik India juga membentuk bilangan pekerja ekspatriat terbesar di Qatar, iaitu kira-kira 25 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

Negara Majlis Kerjasama Teluk ialah pasaran luar negara terbesar filem India, iaitu antara 20 hingga 35 peratus daripada jumlah box office luar negara. `Beast’ dilaporkan mendapat kebenaran ditayangkan di negara Teluk lain, tetapi telah ditapis di Arab Saudi.

Penganalisis perdagangan, Ramesh Bala, mengesahkan berita di Twitter dan menyatakan bahawa filem Tamil `Fir’ baru-baru ini diharamkan di Kuwait kerana sebab yang sama. Beliau memberitahu portal berita DNA India, bahawa kerajaan negara itu tidak berpuas hati dengan gambaran kumpulan pengganas itu.

“Dalam kedua-dua filem itu, penjahat utama dan kumpulannya adalah kumpulan pengganas Islam. Filem ini juga menyentuh topik (kumpulan pelampau seperti) Al-Qaeda, ISIS… jadi ini adalah pemahaman daripada kedua-dua negara ini. Kami tidak boleh memberitahu secara tepat, tetapi secara keseluruhan mereka tidak berpuas hati dengan sudut keganasan,” katanya.

Pemimpin TNML, VMS Mustafa, berkata: “Industri perfileman sentiasa menimbulkan tanggapan bahawa orang Islam adalah pengganas seperti yang sering berlaku dalam filem Tamil. Kita lihat banyak pertubuhan sosial menentang keras apabila sesebuah filem menyebut identiti kasta mereka atau mempunyai nama pemimpin kasta sebagai watak filem.

“Ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa pada Ramadan yang mulia dan dalam konteks ini, masalah akan timbul jika filem ini yang menggambarkan umat Islam sebagai pelampau ditayangkan,” katanya.

Beliau juga menggesa Setiausaha Dalam Negeri India, S K Prabhakar, mengharamkan tayangan filem itu. – MIDDLE EAST MONITOR

- Advertisement -