Cegah nafsu hayawan

- Advertisement -

DALAM kitab Al-Tanbihat Al-Hisan Fi Fadha’il Syahri Ramadan karya Abdullah bin Muhamed bin Abdul Aziz Al-Khalifi menjelaskan bahawa seseorang yang benar-benar berpuasa dan diterima Allah S.W.T ialah yang berjaya menjauhi diri daripada perbuatan terlarang:

- Advertisement -

ومن آداب الصيام الكف عن اللغو والشتم والسباب وصيانة الجوارح عما حرم الله، كذلك غض النظر عن النظرات المحرمة كالنساء الأجنبيات وما شابههن ممن فيهن الفتنة فزنا العين النظرة وهو سهم من سهام إبليس.

“Di antara adab berpuasa ialah menahan diri daripada perkara sia-sia, mengumpat, membuat tuduhan dan menjaga anggota badan daripada perkara yang diharamkan oleh Allah. Begitu juga menundukkan pandangan daripada pandangan yang diharamkan seperti melihat wanita ajnabi dan seumpamanya yang terdapat anasir fitnah. Zina mata itu ialah bermulanya melalui pandangan dan ia adalah anak panah daripada panahan Iblis”.

Seseorang yang berpuasa itu sekiranya disertai puasanya dengan mengumpat orang lain, menuduh dan memfitnah, ia adalah petanda jelas bahawa puasanya ditolak. Pada zahirnya dia berpuasa, namun hakikatnya sifar ganjaran di sisi Allah. Perkara ini perlu disemak oleh seluruh umat Islam yang berpuasa agar tidak termasuk dalam golongan ini.

Walaupun kuasa syaitan agak berkurangan semasa Ramadan, akan tetapi keupayaan nafsu manusia masih ditahap yang membimbangkan walaupun mereka berpuasa. Jika mata, telinga, lidah dan sekalian anggota tidak berpuasa sebaliknya terdedah kepada kemungkaran lalu melayaninya, status Muttaqin mustahil dapat dicapai. Bahkan keinsanan manusia itu kadang-kadang boleh bertukar menjadi hayawan buas bahkan lebih teruk daripada itu. Di sinilah punca kenapa kemungkaran boleh berlaku pada bulan Ramadan. Renungkanlah!

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 13/4/2022

- Advertisement -