Syariat Allah hendaklah dijulang tinggi

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 10

NILAI keimanan seseorang itu turut dilihat daripada sudut penerimaan tuntutan Allah SWT sepenuhnya. Beriman dengan kandungan ayat Allah wajib secara syumul dan tidak boleh menerimanya sebahagian serta menolak sebahagian yang lain.

Orang yang berpura-pura beriman hanya menerima ayat yang sesuai dengan kondisi mereka sahaja dan mencemuh bahkan membuat penolakan dengan cara tersendiri terhadap ayat-ayat yang bagi mereka boleh mendatangkan kesusahan kepada mereka. Golongan ini diberi peringatan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

یَحۡذَرُ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَیۡهِمۡ سُورَةࣱ تُنَبِّئُهُم بِمَا فِی قُلُوبِهِمۡۚ قُلِ ٱسۡتَهۡزِءُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مُخۡرِجࣱ مَّا تَحۡذَرُونَ. وَلَىِٕن سَأَلۡتَهُمۡ لَیَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَایَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ.

Maksudnya: “Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah wahai Muhammad: Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai). Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Al-Taubah: 64-65)

- Advertisement -

Syariat Allah SWT hendaklah sentiasa dijulang tinggi dan umat Islam wajib mempertahankan prinsip serta tuntutan Islam sepanjang zaman. Kita sangat bimbang jika ramainya golongan munafiqin dalam kalangan ummah ini, menyebabkan prinsip Islam tergadai dan ummah semakin lemah. Musuh akan bermaharajalela dan segala kegiatan mungkar melebar dalam negara. Ingatlah pesanan Nabi SAW:

*لَتُنتَقَضَنَّ عُرى الإسلامِ عُروةً عُروةً، فكُلَّما انتَقَضَت عُروةٌ تَشَبَّث النَّاسُ بالتي تليها، فأَوَّلُهنَّ نَقضًا الحُكمُ، وآخِرُهنَّ الصَّلاةُ*

Maksudnya: “Akan tercabut prinsip Islam satu persatu, setiap kali ia tercabut, umat Islam akan pertahan prinsip yang berbaki. Mula mula yang tercabut ialah soal perundangan dan akhir sekali ialah solat.” (Riwayat Ahmad)

Antara perkara yang dianggap mempersendakan kandungan Al-Quran ialah mempermainkan prinsip dan tuntutan Islam sama ada melalui lisan atau perbuatan, ini termasuklah tidak mendirikan solat, makan di siang hari di khalayak ramai pada bulan Ramadan dan tidak membayar zakat yang difardukan. Inilah golongan yang tiada integriti dan memandang urusan agama hanya melalui kepentingan peribadi semata-mata. Yang terlebih teruk lagi, ada yang malu untuk mengaku sebagai Muslim dan membuat dakwaan bahawa dia lebih suka berada dalam agama selain Islam dan meviralkannya melalui media sosial. Ia berlaku dalam kalangan golongan yang merasakan mereka popular dalam masyarakat. Walaupun kelakuan mereka itu pelik dan bertentangan dengan Islam, tetapi mereka berasa bangga untuk memberitahu semua orang tanpa mengira batasan akidah.

Mempermainkan ajaran Islam ini berat hukumnya dan sepakat ulama bahawa orang yang berkata akan perkataan yang mempermainkan ayat Allah secara sengaja, ianya boleh membawa kepada kekufuran. Masih banyak dalam masyarakat kita yang suka viralkan isu-isu ejekan terhadap agama.

Sebelum ini tersebar di negara kita di media sosial mengenai pakaian kostum menyerupai Allah. Ada juga yang ingin memakai kostum menjadi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Semua perbuatan tersebut termasuk dalam kategori mempersendakan agama yang boleh membawa kepada terpesongnya pegangan seseorang itu.

Di sinilah perlunya peranan yang diambil oleh pihak berkuasa agama dan seluruh pendakwah untuk memberi penjelasan yang tepat berkaitan dengan Islam dalam isu-isu yang ditimbulkan. Seluruh umat Islam hendaklah berhati-hati dalam isu yang melibatkan akidah supaya tidak terjerumus dalam kelompok mereka yang dimurkai dan syirik kepada Allah SWT, wal’iyazabillah.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
10 Ramadhan 1443/12 April 2022 – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -