PAS Tambun imarahkan Ramadan ke agensi-agensi

TAMBUN: PAS Kawasan Tambun telah mengadakan program Singgah Sahur yang menjadi acara tahunan mengimarahkan Ramadan dengan kunjungan serta sumbangan ke agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Advertisement

Timbalan Yang Dipertua PAS Tambun, Mohd Aidil Abdul Aziz memimpin program ini bersama Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan yang juga Ketua PAS Zon Klebang sebagai tuan rumah menyelia program.

Antara disantuni adalah petugas di Balai Polis Kampung Tawas, Pejabat Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pertubuhan Peladang Perak, sekolah-sekolah, stesen minyak, kedai serbaneka dan pekerja penghantar makanan.

Menerusi program ini, sebanyak 50 pek makanan dan minuman untuk bersahur hasil daripada sumbangan ahli dan orang ramai bagi menjayakan program ini telah diagihkan anggota delegasi yang terlibat.

Menurut Mohd Aidil, program memberi makan dan bersedekah seperti ini sangat besar fadhilatnya semasa Ramadan di mana dapat mendidik jiwa untuk merasai kepayahan hidup orang lain serta menyebarluaskan dakwah.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Tambun dalam pada itu telah mengadakan program edaran buah kurma ke agensi-agensi kerajaan dalam DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta, di sini baru-baru ini.

Pengerusi LKK Muslimat PAS Tambun, Khamisah Abd Hamid berkata, selain menjadi program tahunan pihaknya, program kali ini juga diadakan sempena Hari Polis dan Hari Doktor yang telah disambut pada bulan lalu.

Jelasnya, ia sebagai menyatakan penghargaan pihaknya kepada para penjawat awam berkenaan atas dedikasi perkhidmatan mereka menerusi kunjungan dan menyantuni dengan pemberian sumbangan tersebut.

Turut serta adalah Pengerusi LKK Tambun, Syed Mohd Noor Hisam Syed Hassan serta Ahli Jawatankuasa PAS Tambun, Ishak Ahmad Sani dan Eddy Noor Abdul Manan. – HARAKAHDAILY 12/4/2022