Pantau harga ayam peringkat pemborong, penternak

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap memantau harga siling ayam bukan sahaja di peringkat peruncit, bahkan di peringkat pemborong dan penternak.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pantauan itu perlu dibuat bagi mencari punca kenaikan harga ayam sehingga melebihi harga siling yang ditetapkan, iaitu RM8.90 bagi sekilogram ayam.

- Advertisement -

“Pihak kerajaan juga perlu memantau di peringkat ladang dan juga peringkat pemborong sebab kawalan yang kerajaan tetapkan itu ialah dari segi ladang, pemborong dan peruncit.

“Jadi kena lihat juga dari segi harga di ladang dan juga harga pada pemborong supaya boleh dilihat sama ada pihak ini menjual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan atau tidak,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, petang semalam.

Menurut Mohd Yusof, situasi sebegini sering berlaku apabila tiba musing perayaan dan terdapat pihak yang mendapat keuntungan lebih.

Justeru katanya, bagi mengelakkan terdapat pihak yang mengaut keuntungan berlebihan, kerajaan akan mengumumkan harga siling sebelum atau semasa musim perayaan.

Katanya, sebelum musim perayaan, biasanya kerajaan akan menggunakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), namun apabila tiba musim perayaan kerajaan akan menetapkan harga siling bagi mengelakkan jualan melebihi harga maksimum.

“Apabila tiada kawalan harga siling, biasanya ada pihak cuba menjual melebihi harga maksimum. Jadi apabila ada harga siling, dia tidak boleh untuk ambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Yusof, jika sebelum ini punca kenaikan harga barang asas adalah disebabkan terdapat pihak mahu mengaut keuntungan semata-mata, namun kini banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan harga.

“Punca kenaikan itu banyak, antaranya sebab kita masih dalam fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik. Walaupun sudah buka sektor ekonomi dan sektor perternakan juga sudah boleh beroperasi, tetapi masih lagi ada isu pekerja.

“Ini kerana, kebanyakan ladang ini menggunakan pekerja asing, mungkin ada ladang yang tiada pekerja.

“Selain itu, kemungkinan juga berlaku masalah bahan mentah yang digunakan untuk hasilkan bahan makanan ayam, yang masih mahal.

“Kebanyakan bahan-bahan makanan ini diimport daripada luar, jadi itu mungkin antara faktor yang sebabkan kenaikan harga,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -