Agong berkenan terima menghadap PM, Menteri Agama

Foto daripada Facebook Istana Negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Istana Negara menerusi laman Facebook menyatakan Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

- Advertisement -

Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Sementara itu, Idris dalam catatan di laman sosialnya menyatakan beliau menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap hari ini.

“Patik menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap di Istana Negara, hari ini.

Foto daripada Facebook Istana Negara.

“Patik merafak sembah dan menjunjung kasih atas keprihatinan KDYMM Tuanku kepada urusan pentadbiran hal ehwal Islam khususnya agensi-agensi hal ehwal Islam,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -