Wan Junaidi perincikan pindaan RUU Antilompat Parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dari segi teknikal adalah untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ini dilakukan dengan memasukkan Fasal 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang Persekutuan.

- Advertisement -

“Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen,” katanya ketika membentangkan RUU ini dalam Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri antara Kerajaan dan Pakatan Harapan telah diadakan hari ini dan tiga perkara telah dipersetujui.

Pertama, katanya mengkhususkan berhubung dengan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Kedua, cadangan untuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan ketiga, menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Dr Wan Junaidi berkata, perkara ini akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 11/4/22

- Advertisement -