RAMALLAH: Tentera Israel menembak dan membunuh dua wanita Palestin dalam dua kejadian berasingan ketika tentera menyahut seruan Perdana Menteri, Naftali Bennett supaya mereka melakukan ‘serangan’ terhadap penduduk Islam.
Mangsa pertama ialah seorang wanita Palestin tidak bersenjata berusia 45 tahun di bandar Husan, barat Bethlehem di selatan Tebing Barat.
Saksi di lokasi kejadian berkata, tentera Israel di pusat pemeriksaan di pintu masuk timur Husan menembak Ghadeer Sabatin, seorang balu dan ibu kepada enam anak.
Dia dilaporkan menyeberang jalan selepas salah seorang tentera Israel memintanya berhenti. Namun, salah seorang tentera Israel menembaknya sebanyak dua kali, walaupun dia dilaporkan tidak mendatangkan bahaya kepada mereka.
Pihak tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa Sabatin telah mendekati tentera ‘dengan cara yang mencurigakan’, namun kemudian mengesahkan dalam satu kenyataan lain bahawa wanita itu tidak bersenjata.
Sumber kerajaan Palestin berkata, Sabatin yang telah kehilangan sebelah matanya beberapa tahun lalu dan cacat penglihatan, terbunuh disebabkan tindakan kejam tentera Israel
ketika dalam perjalanan untuk melawat salah satu rumah saudaranya di Husan.
“Tentera Israel sedang menahan dan memeriksa penduduk Palestin di kawasan itu. Warga Palestin tidak dibenarkan membawa Sabatin ke hospital kerana tentera Israel menghalang mereka daripada mendekati mangsa.
Dalam pada itu, mangsa kedua dibunuh oleh tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel berlaku di bandar Hebron di Tebing Barat yang diduduki.
Wanita itu yang tidak dinamakan, ditembak berhampiran Masjid Ibrahimi selepas dia didakwa menikam seorang pegawai polis Israel di salah satu pusat pemeriksaan di bandar lama bandar itu.
Episod terbaru keganasan Israel semasa bulan Ramadan ini telah meningkatkan ketegangan yang mencetuskan reaksi kemarahan daripada pemimpin dan rakyat Palestin.
Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ibrahim Melhem menegaskan kerajaan Bennett ‘menggunakan darah penduduk Palestin untuk mendapatkan sokongan pelampau bagi kerajaannya yang hina dan diancam keruntuhan’.
Pembunuhan kedua-dua wanita Palestin itu berlaku tidak lama selepas Bennett berkata bahawa Israel telah beralih kepada ‘mod serangan’ untuk bertindak balas terhadap serangan terhadap warga Israel di Baitulmaqdis baru-baru ini.
“Pembunuhan Ghadeer Sabatin adalah ‘pembunuhan terancang yang mencerminkan kultus pembunuhan yang wujud dalam tentera pendudukan, dan atas arahan Naftali Bennett, yang membenarkan pembunuhan rakyat Palestin hanya kerana dari syak wasangka’.
Melhem mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan Bennett sebelum yang mana dia berkata bahawa Israel telah beralih kepada mod serangan.
“Adakah Naftali Bennett fikir dia sedang melawan tentera Rusia dengan menyerang rakyat Palestin yang tidak berdaya.
“Bila masa pula tentera Israel tidak berada dalam mod menyerang Palestin? Adakah rakyat Palestin menduduki tanah air Israel, atau Israel yang menduduki tanah air Palestin?”
Sementara Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayieh turut mengutuk jenayah kejam yang dilakukan oleh tentera Israel di Bethlehem dan meminta kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas akibatnya.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin Hussein Sheikh pula dalam kenyataannya di Twitter berkata bahawa arahan perdana menteri Israel kepada tenteranya untuk beroperasi tanpa sekatan di Tebing Barat adalah satu tindakan untuk membunuh dan mendera rakyat Palestin.
Sehubungan itu, dia menyeru masyarakat antarabangsa dengan semua institusinya untuk membendung pelanggaran undang-undang ini dan memberi tekanan terhadap Israel untuk menghentikannya.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam kenyataannya pula berkata pembunuhan Sabatin adalah penjelmaan sebenar tingkah laku pengganas yang diamalkan Israel terhadap rakyat Palestin,
“Jenayah itu ‘mengesahkan pengabaian sepenuhnya terhadap semua undang-undang dan norma manusia dan mendedahkan wajah perkauman hodoh Israel, yang mewakili bahagian paling bawah keruntuhan moral manusia. – Arab News