RUU Antilompat Parti pastikan kestabilan politik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan menjadi langkah permulaan kepada penggubalan RUU bagi mencegah tindakan keluar parti demi melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya sah daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata bagi maksud penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, kerajaan pada 10 April lalu bersetuju supaya suatu Jawatankuasa Pilihan Khas bi-partisan ditubuhkan.

Katanya, keahlian jawatankuasa itu membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk pakar akademik, wakil parti pembangkang dan wakil parti kerajaan bagi meneliti dan menentukan dasar serta peruntukan terbaik untuk akta itu.

“RUU juga dijangka dibentang di Mesyuarat Kedua Penggal kelima Parlimen ke-14 pada Julai ini telah dipersetujui dilaksanakan selepas Hari Raya nanti pada suatu tarikh yang bakal ditetapkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di bawah Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Dr Wan Junaidi berkata berdasarkan kes Nordin bin Salleh lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] CLJ 343, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan) memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang individu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu, katanya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan harus dipinda bagi membolehkan penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

Selaras dengan perkara ini, katanya RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengandungi 2 Fasal dengan perincian seperti berikut:

Pertama, katanya Fasal 1 Rang Undang-Undang memperuntukkan tajuk ringkas akta yang dicadangkan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

“Kedua, Fasal 2 RUU bertujuan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan merangkumi: (a) Subfasal 2(a) bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 10 berbangkit daripada kemasukan Fasal baharu (3A) dalam subfasal 2(b); dan(b) Subfasal 2(b) bertujuan untuk memasukkan Fasal baharu (3A) ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini untuk membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/22

- Advertisement -