Pensyarah kanan pengurusan haji, umrah: PU Amin, PU Riz raih kepercayaan YEG Academy

PU Amin sanggup memikul peranan sebagai pensyarah kanan di YEG Academy kerana mahu berkongsi manfaat bersama-sama dengan golongan muda.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

PETALING JAYA: Bersedia untuk memikul tanggungjawab kerana mahu berkongsi manfaat bersama-sama golongan muda merupakan semangat iltizam yang ada dalam diri Pencetus Ummah (PU) Amin dan PU Riz, susulan dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy.

Justeru dengan pengaruh, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki masing-masing sebagai antara tokoh pendakwah selebriti muda popular di negara ini, kedua-dua PU Amin dan PU Riz menyambut baik tawaran yang diberikan YEG Academy itu, sementelah kedua-dua mereka mempunyai misi yang sama iaitu berdakwah dan menarik lebih ramai anak muda ke arah bidang pendidikan berasaskan islamik.

- Advertisement -

PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, pengalamannya sebagai mutawif dianggap sebagai aset terbaik dirinya untuk bergelar seorang pensyarah kanan dalam bidang tersebut.

“Saya berpengalaman dalam bidang umrah dan menjadi mutawif selama sembilan tahun. Pendidikan adalah salah satu bidang yang dekat dengan jiwa saya.

“Justeru, saya terima tawaran ini dan mahu berkongsi manfaat bersama para pelajar. Tambahan trend hari ini lebih ramai orang muda menunaikan umrah, jadi permintaan terhadap mutawif muda di negara ini cukup tinggi,” ujar PU Amin yang sudah tiga tahun bersama YEG Academy.

Menyentuh tentang kelayakannya untuk menjadi pensyarah kanan pengkhususan tersebut di YEG Academy, jelas PU Amin, selain mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir, dia juga memiliki ijazah sarjana dari Open University Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.

“Kelayakan untuk menjadi pensyarah kanan di kolej sudah mencukupi dan tiada isu. Berbeza jika universiti awam untuk menjadi pensyarah kanan kelayakan yang diperlukan ialah Doktor Falsafah (PhD),” tutur PU Amin ketika ditemui pada sidang media di Royale Chulan, Damansara, Selangor pada Sabtu (9 April).

Sidang media berkenaan adalah bersempena kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangantersalahpilihbidang, yang mana salah satu pengkhususan bidang yang ditawarkan ialah Diploma Pengurusan Haji dan Umrah.

PU Riz bersama pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin (kiri) dan Azizulhakim Suhaimi (kanan).

Selain PU Amin, seorang lagi pendakwah selebriti, PU Riz atau Haris Ismail turut dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah tersebut pada tahun ini.

PU Riz yang tidak dapat hadir pada sidang media tersebut bagaimanapun sempat muncul secara lintas langsung berkata, kursus Diploma Pengurusan Haji dan Umrah yang ditawarkan YEG Academy bukan sahaja melahirkan individu yang bekerjaya dan profesional dalam bidang mutawif tetapi yang berpengetahuan untuk menguruskan secara keseluruhan dari awal sehingga akhir perjalanan umrah dan haji.

“Program (pengajian) berkenaan adalah program yang baik untuk kita sama-sama ambil kira sebagai karier kita dan teruskan dalam bidang ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, pemilihan dua pendakwah selebriti muda berkenaan bukanlah kerana populariti mereka semata-mata, sebaliknya kedua-dua PU Amin dan PU Ruz turut berkongsi perjuangan yang sama dengan pihaknya.

“Pihak kami tidak mengambil PU Amin dan Pu Riz atas dasar populariti mereka sahaja, tetapi kami adakan perbincangan dan meneliti misi kehidupan yang diinginkan. 

“Malah, kami mewujudkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah ini bukan kerana wang semata-mata, sebalik terdapat perjuangan yang perlu diteruskan sebagai umat Islam.

“Insya-Allah dengan adanya gandingan PU Amin dan PU Riz yang merupakan dua  tokoh muda  ini diharap pihak kami dapat melahirkan  anak-anak muda yang luar biasa dalam pengajian ini,” ujar Hasan.

PU Riz dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy bukan atas dasar populariti semata-mata.

Apa yang menarik adalah pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy akan dihantar ke Mekah dan Madinah untuk menjalani latihan industri di sana bersama syarikat pelancongan islamik terkemuka seperti Andalusia Travel and Tours.

“YEG Academy adalah kolej pertama di Malaysia yang menghantar pelajar menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah. Setakat ini, kami mempunyai 500 orang pelajar yang sedang dan akan menjalani latihan industri di sana secara berperingkat.

“Jika mereka tidak bekerja dalam bidang umrah dan haji, diploma yang dimiliki membolehkan mereka bekerja dalam sektor pelancongan dan pengurusan. Hal ini kerana Diploma Pengurusan Haji dan Umrah silibusnya sama seperti Pengurusan Pelancongan cuma di sini ditambah tentang haji dan umrah,” kata Hasan. – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -