KUALA LUMPUR: Memiliki integriti tinggi antara punca kerajaan PAS Kelantan mampu bertahan biarpun memiliki kelebihan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 2005.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata, selepas pilihan raya umum (PRU) 2004 kerajaan PAS hanya mempunyai kelebihan tiga kerusi Dun.
Bagaimanapun, katanya selepas itu berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pengkalan Pasir pada 2005 dan PAS gagal mempertahankan kerusi tersebut.
“Berikutan itu, jumlah kerusi PAS di Dun semakin kecil dan hanya berbeza satu kerusi berbanding dengan pembangkang ketika itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, biarpun hanya mentadbir dengan kelebihan satu kerusi, kerajaan PAS Kelantan mampu bertahan sehingga sepenggal pada PRU 2004.
“Kelantan bertahan dengan majoriti satu kerusi di Dun. Ini memperlihatkan begitu mahal harga diri setiap wakil rakyat PAS sehingga kerajaan negeri dapat dipertahankan,” katanya.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan sekiranya ketua parti boleh memecat seseorang Ahli Parlimen yang tidak cenderung terhadapnya dianggap sebagai lompat parti.
Menurutnya, dalam situasi sekarang di negara ini bukan ketua parti yang dilantik sebagai Perdana Menteri, namun tidak mustahil (Perdana Menteri) boleh hilang kelayakan jika dipecat sebagai ahli parti terbabit.
“Perkara itu nampak macam mustahil, namun ia tidak dapat ditolak boleh berlaku jika Ahli Parlimen melanggar keputusan partinya sehingga boleh dipecat.
“Isu tersebut perlu diperhalusi oleh Jawatankuasa Khas yang dibentuk kerajaan. Bab kesetiaan sehingga Ahli Parlimen hilang kelayakan selepas keluar parti perlu ada dokumen secara bertulis,” ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkata, Dun Kelantan melakukan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri pada 1991 bagi mengelakkan berlaku adegan lompat parti.
Katanya, pindaan itu antara lain menyebut ‘seseorang Adun perlu mengosongkan kerusinya selepas melompat parti’.
Namun katanya, pindaan itu dicabar Adun Sungai Pinang, Nordin Salleh dan Mahkamah Agung ketika itu memutuskan tidak boleh menghalang kebebesan berpersatuan.
“Langkah proaktif kerajaan sekarang meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan merupakan rentetan untuk memastikan hak rakyat terus terpelihara.
“Ketidakstabilan politik perlu ada sekatan untuk mencegah lompat parti. Integriti Ahli Parlimen bukan sekadar lompat parti, namun Ahli Parlimen terpalit dengan rasuah dan penyelewangan perlu diambil kira.
“Bersihkan demokrasi negara, kita hanya tutup lubang besar, namun lubang lain masih lagi terbuka. Cadangan transformasi negara perlu ditangani dengan bijaksana,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!