Anak perempuan kena jaga ibu bapa?

Buat sang Hawa generasi milenia

- Advertisement -

IBN Mas’ud bertanya Rasulullah S.A.W, apa amalan yang paling dikasihi Allah? Sabda Baginda:

- Advertisement -

 الصَّلاَةُ عَلَى وَقتِهَا. 

“Solat pada waktunya.”

Beliau tanya lagi, kemudian apa? Balas Baginda:

 بِرُّ الوَالِدَينِ. 

“Berbuat baik kepada kedua ibubapa.”

Beliau tanya lagi, kemudian apa? Jawab Baginda:

 الجِهَادُ في سَبِيلِ الله. 

“Jihad di jalan Allah.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Apa maksud Birr al-Walidain?

Birr bermaksud kebaikan. Birr al-Walidain: Kebaikan terhadap ibu bapa.

Ramai ingat bila taat pada ibu bapa, penuhi permintaan mereka, bagi duit belanja bulanan dah dikira birrulwalidain. Belum lagi. Itu baru sikit dari kewajipan birrulwalidain.

Birrulwalidain ini kena buat apa yang perlu walau tanpa disuruh, beri apa mereka mahu walau tanpa diminta, luangkan masa bersama mereka sebagaimana mereka boleh korbankan masa untuk besarkan kita dulu.

Orang tua ini dia ada hasrat, hajat, impian sendiri. Tapi mereka tak tergamak nak beritahu. Anak yang baik perlu cuba faham. Jangan harap mereka beritahu. Itulah birrulwalidain.

Kenapa ibu bapa dulu baru jihad?

Perlu dibezakan antara jihad Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Kalau jihad berbentuk Fardu Ain seperti situasi Nafrul Am (kerajaan kerah rakyat berperang pertahan tanah air), jangankan anak, isteri pun tak perlu minta izin suami.

Tapi kalau Jihad Fardu Kifayah iaitu ada orang selain boleh sempurnakan tugasan itu, maka kita perlu utamakan ibu bapa. 

Ada seorang Sahabat pernah minta izin Nabi untuk keluar berjihad. Nabi suruh dia pulang jaga ibu dia dulu.

Sebabnya, kalau anak sendiri tak jaga ibu bapa, nak harapkan siapa? Tapi bab jihad kifayah, kalau bukan kita pun orang lain ada lagi.

Namun secara realiti di Malaysia, jihad kita berbentuk damai (silmiyyah) bukan ke medan perang (bilquwwah). Jadi boleh saja jalankan dua tanggungjawab serentak antara birrulwalidain dan jihad tanpa perlu tinggal salah satu. Cuma bahagi masa sebaiknya.

Tanggungjawab anak lelaki ke perempuan?

Benda ini bukan khilaf ulamak, tapi khilaf besar antara anak-anak. Sama ada berebut nak jaga, atau berebut tak nak jaga.

Asasnya, semua kena jaga tak kira anak lelaki atau perempuan. Kena bincang elok-elok macam mana bahagi masa antara adik-beradik.

Tapi dari sudut aulawiyyat, anak lelaki lebih utama berbanding perempuan. Ini kerana apabila perempuan sudah berkahwin, keutamaan mereka perlu berikan kepada suami. Ibu bapa nombor 2 bagi mereka. Tetapi bagi lelaki, ibu bapa nombor 1 walaupun dah berkeluarga.

Cuma dalam beberapa urusan, anak perempuan lebih pandai seperti menjaga urusan kewanitaan ibu, membuat kerja rumah dan sebagainya. Alangkah baiknya kalau suami faham situasi ini, lalu mengorbankan sedikit hak mereka sebagai suami dan membenarkan isteri untuk berkhidmat kepada ibu bapa mereka.

Tapi kalau suami anak perempuan tetap tak boleh bincang, anak lelaki pula tak pandai urus, maka upahlah seorang house manager. Jangan abaikan kebajikan mereka.

Itu baru sudut kebajikan. Bab birr walidain yang lain masih perlu dilaksanakan. Rujuk balik maksud birr walidain di atas.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -