Projek Laman Warisan Kampung Laut siap ikut jadual

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan mermulakan pembinaan Jambatan Palekbang yang akan melengkapi Laman Warisan Kampung Laut dan Kota Bharu Promenade sebagai pembangunan bersepadu berasaskan pelancongan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata ECERDC berjaya menyiapkan projek Laman Warisan Kampung Laut mengikut jadual yang merangkumi kerja-kerja pemindahan Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri ke lokasi asal.

- Advertisement -

“Projek seterusnya yang dinantikan pembinaan jambatan Palekbang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan, di Kota Darulnaim, hari ini.

Pada majlis itu Ahli mesyuarat ICC Kelantan diberi taklimat mengenai rancangan ECERDC untuk membangunkan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV) di ECER Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.

Lojing dikenal pasti sebagai tapak perintis untuk Taman RV di Kelantan.

Semalam, Ahmad dan ahli mesyuarat ICC meninjau Masjid Kampung Laut dan Laman Warisan Seni tserta mengedarkan bingkisan Ramadan kepada 70 keluarga yang tinggal di sekitar Masjid Kampung Laut.

Beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada ECERDC yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Baidzawi Che Mat kepada 30 keluarga kurang berkemampuan.

Selain itu turut diadakan majlis berbuka puasa anjuran ECERDC, di Laman Warisan Seni Kampung Laut. – HARAKAHDAILY 10/4/2022

- Advertisement -