Pelaburan ke Kelantan bukan lagi ‘misi mustahil’

- Advertisement -

PELABURAN dilihat menjadi perkataan yang cukup asing didengar mahupun disebut, apatah lagi untuk dihubung kaitkan dengan Kelantan. Begitu besarnya momokan kemiskinan dan kemunduran Kelantan hinggakan urusan pelaburan seakan mustahil dan tidak mungkin diadakan di negeri ini.

- Advertisement -

Kerana sentimen politik kepartian, masih ada rakyat negara ini yang di minda mereka dipenuhi persepsi serong, merasa jijik bahkan memuntahkan kebencian terhadap Kelantan. Walaupun hakikatnya, mereka tidak pernah berurusan dengan anak jati Tanah Serendah Sekebun Bunga ini atau menjejakkan kaki ke sini.

Semua imej negatif dipalitkan ke wajah Kelantan, dipercayai bulat-bulat tanpa usul periksa, hatta di era langit terbuka kini. Apa nak hairan jika rakyat awam seperti itu? Kerana di Parlimen dalam ucapan dan perbahasan pun ada yang galak memperlekeh, memburuk dan menghina Kelantan.

Tidak puas di otak dan mulut mereka, Darul Naim turut menjadi mangsa propaganda jahat melalui penyiaran di media cetak dan elektronik, malah sehingga dalam produksi drama dan filem. Kelantan dalam banyak hal, berdepan tindakan berupa halangan dari mendapatkan hak-hak untuk negeri dan rakyatnya.

Malang sekali, pihak Kelantan jugalah yang kerap dipersalahkan dengan dakwaan kononnya gagal memberi kerjasama yakni bermaksud untuk menuduh tidak mesra pelabur. Tetapi cukuplah diberi satu bukti yang dapat direnungi dari aktiviti perlombongan minyak dan gas asli di perairan Kelantan. 

Hasil cari gali dan penggerudian itu dielak untuk didaratkan di bumi Kelantan. Tindakan yang tidak ekonomik dan tidak strategik itu sebaliknya menyalurkan minyak dan gas asli ke Songkhla, Thailand yakni melalui kawasan konflik dan berisiko sebelum masuk semula ke Gurun, Kedah.

Namun, Mac lalu ada berita yang mencuri perhatian ramai berkenaan pelaburan langsung asing (FDI) diterima Kelantan daripada ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd. Sebenarnya ia bukan kemasukan baharu syarikat pengeluar elektronik terkemuka Jepun itu di negeri ini, tetapi adalah pembesaran operasi. 

ROHM-Wako telah bertapak di negara ini sejak tahun 1989 dengan memulakan kilang pertamanya di Shah Alam, Selangor, sebelum berpindah ke Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun 1993 syarikat ini berpindah lagi dan terus berpusat di Pengkalan Chepa, Kelantan dengan 2,100 pekerja.

Perniagaan di Kelantan berjaya mencatat jualan memberangsangkan dan pada tahun 2017, ROHM-Wako sekali lagi mengadakan pembesaran operasi dengan pelaburan tambahan RM270 juta. Sekali gus ia juga meningkatkan prasarana kilangnya dan membuat pengambilan sekitar 500 pekerja lagi.

Terus teguh dan kukuh

Syarikat ini ternyata terus mengukuh di Kelantan apabila pembesaran operasi fasa ketiga baru-baru ini membabitkan pelaburan tambahan RM910 juta. ROHM-Wako terus menambah fasiliti dan kapasiti kilangnya serta membuka pengambilan hampir 400 pekerja mahir lagi.

Ketika ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan dan Kelantan ‘diperkenalkan’ dengan bermacam kekurangan, tetapi ROHM-Wako menunjukkan ia tetap berdaya saing. Ia menyerlahkan keyakinan yang semakin tinggi untuk terus teguh mengekalkan keberadaan di bumi Serambi Makkah ini.

Syarikat ini juga berpengalaman operasi di Korea, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, China, Filipina, Thailand dan Perancis. Dengan infrastruktur Kelantan dikatakan ‘serba tidak ada’ dan geografi yang sukar, tentu sekali keputusan besar ROHM-Wako itu sangat dipengaruhi oleh realiti didapatinya. 

Persekitaran Kelantan yang diterjemahkan oleh kehidupan rakyat dan tadbir urus kerajaan negeri begitu kondusif untuk kelangsungan ROHM-Wako. Apresiasi syarikat itu kepada Kelantan terlihat dari rekod banyak majlisnya yang begitu mahabah bersama pihak kerajaan negeri. 

Malah, selain menghantar pekerja anak Kelantan menimba kepakaran di Jepun dan rangkaiannya di seluruh dunia, ROHM-Wako juga menyediakan kemudahan sangat besar dalam kilangnya di Pengkalan Chepa. Semua itu juga sebagai ‘mengikat’ dan meninggikan motivasi produktiviti atau bakti pekerjanya.

Antaranya mewujudkan mini pasar raya yang membolehkan para pekerja membeli keperluan harian termasuk makan minum harian dengan harga murah. Menerusi cara ini ROHM-Wako bukan sahaja mengadakan usaha kebajikan, tetapi turut sedaya upaya menawan hati dan kesetiaan para pekerja.

Memacu masa depan

ROHM-Wako bukan satu-satunya syarikat FDI yang berada di Kelantan, antara turut berada di sini ialah CMNM Mining Group dari Singapura dan Esquel dari Hong Kong serta Manakas dari Jerman. Pun begitu pelaburan langsung domestik (DDI) masih penyumbang pelaburan terbesar ke Kelantan. 

Syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang membawa pelaburan di sini telah mewujudkan peluang pekerjaan atau menggaji sekitar 50,000 pekerja. Bahkan, turut membawa limpahan kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri, selain merancakkan ekonomi hiliran.

Jika tahun lepas Kelantan menerima kemasukan pelaburan RM1.6 bilion, tetapi tahun ini jelas dilihat melonjak. Setakat ini, selain RM910 juta dari ROHM-Wako, Kelantan juga menerima RM2.23 bilion pelaburan dari Nextgreen Global dalam membangunkan hutan negeri ini secara lestari. 

Perkembangan pelaburan juga dapat disaksikan dari usaha kerajaan negeri mengadakan projek Pembangunan Bandar Perabot di Gua Musang dan Taman Industri Industrialised Building System (IBS) di Machang. Malah, usaha menarik pelaburan terus giat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Kesungguhan ini merupakan komitmen menongkah cabaran dan menerobos masa depan untuk menjadikan pelaburan ke Kelantan bukan lagi satu ‘misi mustahil’. Apatah lagi dengan jalinan hubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat yang bakal memacu Kelantan berkembang lebih pesat. 

Antaranya naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan Pelabuhan Tok Bali, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Jambatan Palekbang, Jambatan Tak Bagi-Pengkalan Kubor, Jalan Raya Pasir Puteh-Machang-Jeli dan lain-lain lagi. 

Tanpa adanya lagi dengki dan dendam perbezaan politik, serta tulus ikhlas semangat Persekutuan dengan semata-mata semuanya demi kepentingan rakyat, negeri dan negara, insya-Allah Kelantan juga bakal menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

“Membangun Bersama Islam”

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 10/4/2022

- Advertisement -