Mereka hero TNB sewaktu kejadian banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mereka yang bertugas di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir sewaktu kejadian banjir pada Februari lalu disifatkan sebagai hero oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, kelima-lima pertugas itu terperangkap hampir 12 jam di bilik kawalan TNB ketika sedang berusaha memastikan mesin janakuasa dihentikan dengan selamat dan peralatan-peralatan seperti back up diesel generator dapat beroperasi.

- Advertisement -

“Mereka ialah hero-hero TNB yang bertugas di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir sewaktu kejadian banjir pada Februari lalu,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, dalam sesi lawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Khamis lalu meraikan wira itu dan menyampaikan sedikit cenderahati atas khidmat yang diberikan.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih buat mereka kerana sanggup bergadai nyawa untuk memastikan stesen dalam keadaan baik dan selamat,” ujarnya lagi.

Dalam satu lagi catatan, beliau bersama Takiyuddin meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud yang terkesan akibat hujan lebat dan gelinciran tanah atau ‘landslide’ ketika musim banjir yang lalu.

Katanya, pihak kementerian amat berpuas hati dengan usaha TNB memulihkan operasi stesen itu dan turut memuji kemampuan mereka memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan.

“Insya-Allah, usaha memulihkan operasinya berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/4/2022

- Advertisement -