Penduduk diserang anjing liar, mohon solusi lebih baik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SHAH ALAM: Bilangan anjing liar yang semakin bertambah di sekitar Elmina mendatangkan rasa bimbang penduduk terhadap keselamatan mereka.

Apatah lagi, terdapat kes penduduk diserang anjing liar semasa melakukan aktiviti bersenam di sekitar kawasan perumahan, di sini.

- Advertisement -

Mantan Bahagian Kebajikan Persatuan Penduduk Elmina Garden (EGRA) Hafiz Hamzani Firdaus Brohier berkata, situasi itu lebih membimbangkan apabila lokasi anjing liar berkumpul berdekatan tadika.

Katanya, kaedah yang digunakan pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi masalah anjing liar dengan sumpitan di Selangor adalah ketinggalan zaman.

“Kita faham, perlu ke DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk gazet cara baru tangkap anjing, tetapi benda ini perlu diberi tekanan dan kesedaran bukan sahaja kepada penduduk di Elmina, tetapi penduduk di sekitar Selangor.

“Semua persatuan penduduk perlu bekerjasama dengan MBSA (Majlis Bandaran Shah Alam), beri mereka tekanan, tekanan bukan benda tak bagus. Tekanan bermaksud kita melihat apa yang mereka buat dalam masa sama menilai sama ada mereka buat kerja atau tidak,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Anjing lliar berkeliaran sehingga membimbangkan penduduk. Foto Persatuan Penduduk Elmina Garden (EGRA)

Hafiz Hamzani berpandangan kaedah menggunakan senapang penenang atau ‘traquilizer gun’ lebih baik.

Katanya, kaedah sumpitan akan menyebabkan anjing bertempiaran lari apabila melihat manusia mendekati, malah penggunaan senapang penenang baginya lebih tepat berbanding sumpit.

Menurut Hafiz Hamzani, berdasarkan pemerhatiannya, dia juga dapat mengesan segelintir penduduk yang memberi makan kepada anjing liar berkenaan.

Katanya, hasrat mereka untuk memberi makan haiwan atas dasar peri kemanusiaan itu harus dipuji, namun mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan itu.

Katanya lagi, tindakan meninggalkan makanan kemudian tidak dihabiskan anjing mengundang haiwan lain seperti tikus.

“Boleh kalau nak bagi makan, saya pun belajar veterinar dulu, tetapi kalau mahu bagi makan, beri di tempat yang jauh dari kawasan perumahan atau rumah kedai seperti di kawasan bulatan besar Elmina, jauh dari manusia.

“Ada orang bagi makan, tetapi tidak menjaga kebersihan. Bagi makanan tetapi tidak buang makanan (yang ditinggalkan anjing) itu, kemudian apa yang akan datang? Tikus. Kita perlu mendidik pencinta haiwan untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya lagi.

Dari kiri Timbalan Pengerusi EGRA, Wen Keng Foong; Mantan Bahagian Kebajikan Persatuan Penduduk Elmina Garden (EGRA) Hafiz Hamzani Firdaus Brohier; Mohammad Shakir Ameer dan Pengerusi EGRA, Sunildeep Singh semasa sidang media, di Pejabat Sime Darby D3 , di sini, semalam.

Sementara itu, menjawab isu kaedah digunakan MBSA dalam mengawal anjing liar, Ahli Majlis MBSA, Mohammad Shakir Ameer menjelaskan faktor MBSA tidak mengesyorkan senapang penenang.

Katanya, penggunaan senapang itu memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan atas faktor keselamatan orang awam selain kekangan undang-undang.

Bagaimanapun, MBSA akan berusaha mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan berterusan menangkap anjing liar jika aduan dibuat secara berterusan oleh penduduk.

Selain itu, bagi penyelesaian jangka masa panjang, kata Mohammad Shakir, MBSA akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak haiwan bagi menangani masalah itu.

Katanya, MBSA juga akan mencari jalan penyelesaian terbaru yang lebih baik.

Dalam perbincangan membabitkan Hafiz Hamzani, Mohammad Shakir, Pengerusi EGRA, Sunildeep Singh dan Timbalan Pengerusi EGRA, Wen Keng Foong, Sime Darby, dan beberapa entiti lain, perkara membabitkan pembakaran terbuka dan masalah trafik turut dibangkitkan.


Penduduk syak pembakaran bahan kimia

Menurut Hafiz Hamzani, usaha mengesan dan memantau pembakaran terbuka di sekitar Elmina mendapati terdapat 14 kawasan pembakaran terbuka.

Katanya, setelah aduan dan tindakan diambil PBT termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, mereka mendapati lokasi pembakaran berubah-ubah.

“Kita buat aduan mengenai pembakaran ini sebab ini pembakaran toksik, mata merah, budak terpaksa pergi ke klinik sebab semput, gatal kulit.

“Ini bukan pembakaran biasa, tetapi pembakaran bahan kimia yang penduduk risau,” katanya.


Masalah trafik di Elmina

Selain itu, EGRA juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyelesaikan masalah berpunca daripada bulatan Elmina yang menyebabkan kemalangan berlaku secara kerap.

“Kita ada penilaian trafik di mana (kita dapati) trafik semuanya dimasukkan ke bulatan (Elmina), daripada asalnya trafik perlu masuk ke persimpangan Elmina di Selatan.

“Masalah lalu lintas jika dapat diselesaikan sekarang, kos akan berkurangan. Mustahil untuk tunggu lagi 10 tahun untuk selesaikan di mana akan memakan kos yang lebih tinggi,” katanya.

EGRA juga menuntut penyelesaian kesesakan trafik di Persiaran Elmina serta persimpangan berdekatan McDonald Denai Alam, akibat daripada lampu isyarat tidak efektif.

Bagaimanapun, bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas akibat lampu isyarat, Prolintas bersetuju untuk mengubah masa lampu isyarat di situ semasa waktu kemuncak, sebagai solusi jangka pendek setakat ini.

Walaupun tidak dapat menyelesaikan isu pokok, tetapi MBSA berharap solusi itu akan melancarkan perjalanan trafik pengguna jalan raya.

Manakala, sebagai solusi jangka masa panjang untuk masalah kemalangan, dijangka satu projek persimpangan akan dibina dan siap pada 2025.

Menurut Hafiz Hamzani, isu ini berlaku kepada semua penduduk, tetapi penduduk Elmina mengambil langkah proaktif demi keselamatan penduduk.

Penduduk Elmina dijangka berjumlah 40,000 meliputi kawasan Bandar Elmina, manakala dalam beberapa tahun akan datang, Elmina dijangka mempunyai 150,000 buah rumah. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -