
OTTAWA: Kanada mengumumkan tambahan perbelanjaan ketenteraan sebanyak C$8 bilion (RM27 bilion) untuk tempoh lima tahun dalam bajet baharunya, sebagai tindak balas kepada serangan Rusia ke atas Ukraine, tetapi terlepas sasaran perbelanjaan NATO sebanyak dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Menteri Kewangan Kanada, Chrystia Freeland pada Khamis (7 April) berkata, serangan Rusia terhadap Ukraine mengingatkan kita bahawa demokrasi aman di Kanada sepertimana semua negara demokrasi di dunia, akhirnya bergantung pada sistem pertahanan Kanada sendiri.
“Kami tahu bahawa kebebasan tidak datang secara percuma, dan keamanan hanya dijamin oleh kesediaan kami untuk memperjuangkannya.
“Itulah sebabnya bajet ini membuat pelaburan tambahan serta-merta dalam angkatan tentera Kanada, dan mencadangkan kajian semula dasar pertahanan pantas untuk melengkapkan Kanada untuk dunia yang menjadi lebih berbahaya,” katanya.

Menurut NATO yang dianggotai Kanada, negara itu pada masa ini telah membelanjakan 1.36 peratus daripada keluaran dalam negara kasar KDNK untuk tentera, turun sedikit daripada hanya beberapa tahun lalu.
Sehubungan itu, menurut pakar dan badan pemerhati fiskal bebas parlimen Kanada, bagi memenuhi sasaran NATO, Ottawa perlu menambahkan lebih banyak bajet untuk pertahanan negara itu dengan sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada KDNK.
Freeland mencadangkan Ottawa masih boleh menutup jurang itu tidak lama lagi, dengan mencadangkan ‘semakan segera terhadap dasar pertahanan bagi melengkapkan Kanada untuk dunia yang telah menjadi lebih berbahaya’. – AFP